BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

CCCC Perkukuh Komitmen Jangka Masa Panjang Terhadap Pembangunan Infrastruktur Malaysia

Daripada Norsyafawati Ab Wahab

BEIJING, 23 Jun (Bernama) -- China Communications Construction Company Ltd (CCCC) memperkukuh komitmen terhadap Malaysia dan menyatakan kesediaan untuk meningkatkan penglibatan dalam pembangunan infrastruktur negara, yang dianggapnya sebagai faktor utama bagi kesalinghubungan serantau jangka masa panjang.

Sebagai antara syarikat infrastruktur terbesar dunia, CCCC menjadikan Malaysia sebagai rakan strategik penting, dengan potensi kerjasama yang semakin berkembang merentas pelbagai sektor.

Pengurus Besar Eksekutif Jabatan Perniagaan Antarabangsa CCCC, Cai Chuansheng pihaknya mahu meneroka peluang pelaburan baharu dan mengembangkan operasi di Malaysia melalui anak syarikatnya, China Harbour Engineering Company Ltd (CHEC).

Beliau berkata sepanjang empat dekad lepas, CHEC telah melaksanakan pelbagai projek infrastruktur di Malaysia dengan nilai kumulatif sekitar US$20 bilion.

“China dan Malaysia ialah jiran yang baik di Asia, dan kita sering berkomunikasi di pelbagai peringkat dan melakukan pertukaran dalam pembangunan sosioekonomi. Ini memberikan banyak peluang untuk kita bekerjasama,” katanya pada pertemuan dengan delegasi media Malaysia di ibu pejabat CCCC di sini.

Media Malaysia berada di sini untuk kunjungan ke ibu pejabat kontraktor utama projek ECRL, CCCC serta ibu pejabat pembuat tren ECRL, CRRC Dalian Locomotive & Rolling Stock Co., Ltd (CRRC Dalian) yang merupakan anak syarikat milik penuh CRRC Corporation.

Beliau berkata usaha infrastruktur yang berterusan dan asas ekonomi yang stabil terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi menarik bagi pelabur asing.

CCCC ialah syarikat pembinaan keempat terbesar di dunia dan terkenal dengan rekod pencapaian yang cemerlang dalam menyiapkan projek infrastruktur utama di peringkat global.

Projek unggul yang dikendalikan oleh syarikat itu termasuk Laluan Kereta Api Mombasa-Nairobi di Kenya; Lebuhraya Sukkur-Multan di Pakistan; Jambatan Persahabatan China-Maldives; Laluan Kereta Api China-Laos serta Bandar Pelabuhan di Sri Lanka.

CCCC kini menjalankan operasi perniagaan di lebih 158 negara.

Di Malaysia, CCCC ialah kontraktor utama bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) -- projek tunggal terbesar di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China di Malaysia -- yang dijadualkan siap pada Disember 2026.

Sebagai kontraktor kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (EPC), CCCC bertanggungjawab ke atas reka bentuk keseluruhan projek, sokongan pembiayaan, serta pembinaan laluan kereta api sepanjang 665 kilometer yang menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang.

Syarikat itu beroperasi di Malaysia sejak sekian lama, melaksanakan projek infrastruktur utama seperti Jambatan Kedua Pulau Pinang, Projek Sambungan Laluan LRT Ampang dan Stesen Bawah Tanah MRT Sentul Barat.

Selain pembinaan rel dan jambatan, CCCC juga aktif dalam kejuruteraan marin, kerja mengorek dan penambakan, serta pembangunan lebuh raya.

“Selama 40 tahun menjalankan perniagaan telah memberi kami kenangan yang indah. Dalam melangkah maju, kami berharap dapat memperkukuh kerjasama dan melaksanakan lebih banyak projek -- termasuk projek mega -- di Malaysia, menyumbang kepakaran profesional CCCC untuk membina Malaysia yang lebih indah,” katanya.

-- BERNAMA