BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad HasanĀ  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Niaga Hadapan Emas Melantun Semula Untuk Ditutup Tinggi

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives melonjak semula untuk ditutup lebih tinggi pada Isnin, didorong oleh ketegangan geopolitik yang meningkat susulan pengeboman kemudahan nuklear Iran oleh Amerika Syarikat (AS) pada Ahad.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata walaupun dolar AS mengukuh berbanding ringgit, harga emas melonjak apabila pasaran dengan segera menilai semula risiko geopolitik, sekali gus mengembalikan tumpuan kepada aset selamat.

“Perkembangan ini mencerminkan peningkatan permintaan pelabur terhadap keselamatan di tengah-tengah kebimbangan mengenai kemungkinan tindak balas dan ketidakstabilan yang lebih meluas di Timur Tengah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Kontrak bulan semerta Jun 2025 meningkat kepada US$3,368.6 setiap auns troy berbanding US$3,360.0 setiap auns troy pada Jumaat, manakala kontrak Julai 2025 naik kepada US$3,381.5 setiap auns troy daripada US$3,366.5 setiap auns troy sebelum ini.

Kontrak Ogos, September dan Oktober 2025 masing-masing menokok kepada US$3,397.5 setiap auns troy daripada US$3,388.6 setiap auns troy pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan melonjak kepada 38 lot berbanding lapan lot pada penutup Jumaat, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 59 kontrak daripada 31 kontrak sebelum ini.

Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 20 Jun, 2025, harga emas fizikal berada pada US$3,368.25 setiap auns troy. 

-- BERNAMA