BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

AirAsia X Rancang Jadikan Rantau Asia Tengah Fokus Utama Bagi Peluasan Rangkaian

SEPANG, 23 Jun (Bernama) -- Syarikat penerbangan tambang rendah jarak sederhana, AirAsia X Bhd merancang menjadikan rantau Asia Tengah sebagai fokus utama bagi peluasan rangkaian penerbangannya, disokong potensi permintaan pasaran yang tinggi dan kurang diteroka syarikat penerbangan komersial.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail berkata setakat ini pihaknya menawarkan penerbangan ke Almaty, Kazakhstan sejak Mac 2025, dan Tashkent, Uzbekistan bermula Oktober ini, manakala satu lagi laluan baharu dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Pasaran Asia Tengah masih sangat kurang mendapat perkhidmatan. Tidak banyak syarikat penerbangan pergi ke sana. Seperti anda tahu, contohnya Almaty dulu, ketika tiada (penerbangan) AirAsia X, penerbangan akan mengambil masa 18 jam untuk ke sana, dengan Airasia X (penerbangan langsung) hanya lapan jam sahaja.

“Saya rasa fokusnya rantau ini, kita telah mula dari Almaty dan kita ada satu lagi laluan yang kita sedang rancang...Kita meninjau Turkiye, Azerbaijan dan negara Asia Tengah lain, dan harapnya, insya-Allah. Ini akan menjadi platform untuk kita terbang seterusnya ke Eropah,” katanya di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran laluan baharu ke Tashkent, Uzbekistan.

Benyamin berkata Asia Tengah bukan sahaja menawarkan tarikan kos pelancongan yang lebih rendah malah juga memiliki nilai sejarah dan budaya Islam yang menarik untuk  pasaran Malaysia.

Pelancaran laluan Kuala Lumpur-Tashkent merupakan satu pencapaian strategik dalam usaha berterusan AirAsia X untuk berkembang di seluruh Asia dan seterusnya, katanya.

Beliau berkata Asia Tengah mempunyai potensi besar di samping ekonomi Uzbekistan yang terus berkembang pesat serta golongan pertengahan semakin meningkat dan berminat untuk meneroka destinasi baharu.

“Kami telah menyaksikan peningkatan permintaan pelancongan ke Asia Tengah yang ketara susulan pencapaian menakjubkan terhadap laluan ke Almaty.

“Visi kami adalah untuk menawarkan rangkaian menyeluruh bagi menyokong pembangunan serantau serta menghubungkan para pengembara ke destinasi baharu di samping mencipta pengalaman perjalanan yang tidak dapat dilupakan,” katanya.

Sementara itu, Duta Besar Uzbekistan di Malaysia, Karomidin Gadoev berkata penerbangan terus AirAsia X ke Tashkent merupakan satu perkembangan penting dalam hubungan Uzbekistan-Malaysia.

“Memandangkan sektor pelancongan Uzbekistan yang berkembang pesat dan kedudukan kukuh Malaysia sebagai hab pelancongan dan perniagaan di Asia Tenggara, laluan ini akan meningkatkan lagi kesalinghubungan, merancakkan pertukaran pelancongan, serta menawarkan peluang baharu untuk pelaburan.

“Kami amat berbesar hati menyambut kehadiran AirAsia X ke pasaran yang berpotensi ini dan berharap kerjasama ini akan memberikan hasil positif,” katanya.

Menurut kenyataan AirAsia X, pelancong kini berpeluang menikmati keindahan Tashkent dengan tambang promosi bermula daripada RM99 untuk tempat duduk ekonomi dari 23 Jun, 2025 hingga 29 Jun, 2025 bagi tempoh perjalanan 15 Okt, 2025 hingga 14 Sept, 2026.

Tashkent terletak di tengah-tengah Uzbekistan adalah bandar pesat membangun dan terkenal dengan seni bina Islam, bazar serta taman hijau yang indah.

-- BERNAMA