BERITA TERKINI   Speaker sahkan belum dimaklum sidang khas bubar DUN Johor pada 24 Jun seperti dilapor media | Umat Islam di Malaysia sambut Aidiladha pada 27 Mei - Pemangku Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja | Kerajaan bincang tingkat kuota BUDI95 bagi penghantar makanan p-hailing kepada 250 liter Selasa ini - Anwar | Kaedah IBS projek Sekolah Angkat MADANI percepat pembinaan, jimat kos hingga 30 peratus - Amir Hamzah | Menteri Kewangan akan bertemu Sultan Pahang perjelas isu peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Pahang - Amir Hamzah | 

Malaysia-Uzbekistan Komited Pertingkat Kerjasama Ekonomi, Perdagangan

Daripada Siti Radziah Hamzah

TASHKENT, 24 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Uzbekistan Shavcat Mirziyoyev pada Isnin (waktu tempatan). 

Pertemuan lebih sejam itu memberi fokus ke atas usaha meningkatkan hubungan dalam pelbagai bidang susulan lawatan Mirziyoyev ke Malaysia pada Februari 2025, kata kenyataan pejabat Presiden Uzbekistan itu.

Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai usaha memperluas jumlah dagangan serta menambah bilangan penerbangan bagi meningkatkan industri pelancongan Malaysia-Uzbekistan.

“Pertemuan itu turut memberi penekanan terhadap mempertingkat kerjasama ekonomi melalui projek kerjasama dalam sektor tenaga hijau, minyak, gas dan industri kimia  serta elektronik dan pembuatan semikonduktor,” kata kenyataan itu. 

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, mengetuai delegasi Malaysia dalam rangka lawatan rasmi ke Uzbekistan pada 21-24 Jun, 2025 sebelum meneruskan lawatan kerja ke Rusia sehingga 28 Jun ini. 

Pada 2024, jumlah perdagangan antara Malaysia-Uzbekistan mencecah RM369.8 juta (US$80.9 juta), sekali gus menjadikan Uzbekistan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di rantau Asia Tengah.

Imbangan dagangan pula berpihak kepada Malaysia dengan nilai mencecah RM360.3 juta (US$78.9 juta).

-- BERNAMA