Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS Berikutan Ketegangan Di Timur Tengah
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), didorong oleh kemungkinan gencatan senjata dalam konflik Israel-Iran, kata ahli ekonomi.
Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2410/2465 berbanding dolar AS daripada 4.2915/2980 ketika ditutup pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keadaan itu mendorong penurunan penanda aras harga minyak mentah Brent kepada US$69.56 setong berikutan risiko bekalan minyak global kelihatan terkawal buat masa ini.
“Pasaran kewangan menjadi lebih baik, dan kesediaan mengambil risiko kembali secara berperingkat.
“Namun, ia masih awal. Pelabur kekal berhati-hati di tengah-tengah ketidaktentuan yang berlarutan, terutamanya dengan penangguhan tarif AS yang dijangka tamat pada awal Julai,” katanya kepada Bernama.
Di peringkat domestik, Mohd Afzanizam berkata indeks harga pengguna (IHP) terkini Malaysia sebanyak 1.2 peratus mengukuhkan pandangan bahawa dasar monetari kekal ketat, dengan kadar faedah sebenar terus meningkat.
“Sentimen pasaran mungkin kekal berhati-hati dalam jangka pendek, manakala penggubal dasar berkemungkinan kekal berwaspada dalam mengimbangi pertumbuhan dan kestabilan,” katanya.
Pada akhir dagangan, ringgit ditutup lebih rendah berbanding beberapa mata wang utama lain.
Ia didagangkan lebih rendah berbanding yen Jepun pada 2.9256/9296 daripada 2.9028/9074 ketika ditutup pada Isnin, merosot berbanding pound British kepada 5.7707/7782 daripada 5.7437/7524, tetapi mengukuh berbanding euro kepada 4.9225/9289 daripada 4.9236/9311 sebelumnya.
Ringgit turut diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.
Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 259.3/259.7 daripada 260.2/260.7 ketika ditutup semalam dan meningkat peso Filipina kepada 7.41/7.44 daripada 7.44/7.46.
Ringgit juga menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.3130/3178 daripada 3.3188/3243 dan mengukuh kepada 12.9793/13.0021 daripada 12.9998/13.0250 berbanding baht Thailand sebelumnya.
-- BERNAMA