BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Financial Park Labuan Pulihkan Bangunan Block 5 Tower Jadi Ruang Pejabat Moden

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 25 Jun (Bernama) - Pemaju pembangunan bercampur terbesar Labuan, Financial Park (Labuan) Sdn Bhd, sedang memulihkan semula Block 5 Tower dengan mengubahnya menjadi bangunan pejabat moden bagi meningkatkan lagi tawaran hartanah komersial di pulau itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Johari Mesar berkata, menara itu, yang terletak dalam Kompleks Ujana Kewangan telah menjalani pelbagai cadangan rancangan pembangunan termasuk bagi institusi pengajian tinggi swasta dan hospital swasta.

"Bagaimanapun, syarikat kini memutuskan untuk meneruskan penggunaan semula menara secara eksklusif untuk kegunaan pejabat. Pihak pengurusan telah memasang empat lif baharu di menara, menandakan satu langkah utama ke arah memanfaatkan potensi penuh bangunan itu.

"Pemasangan lif itu sendiri penting untuk memudahkan pembangunan semula dan membolehkan kami meneruskan rancangan kami," kata Johari kepada Bernama selepas majlis penyerahan hak milik strata kepada pemilik kedai dan pangsapuri di kompleks itu hari ini.

Beliau berkata pembangunan itu akan dijalankan secara berperingkat, dengan fasa pertama melibatkan kerja menaik taraf dan penyediaan 10 tingkat untuk penghunian.

"Usaha perlu disusun secara menyeluruh untuk mempromosi dan memasarkan ruang pejabat baharu kepada bakal penyewa," katanya.

Johari berkata menara yang diubah suai semula itu akan melengkapkan menara pejabat utama dalam Kompleks Ujana Kewangan, menawarkan ruang pejabat premium tambahan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap infrastruktur komersial di pulau itu.

“Pengubahsuaian semula Block 5 Tower itu adalah sebahagian daripada strategi Financial Park untuk mengoptimumkan asetnya dan membantu menyokong kedudukan Labuan sebagai hab perniagaan dan kewangan yang kompetitif,” katanya.

--BERNAMA