BERITA TERKINI   Bank Rakyat umum bayar dividen 18 peratus berjumlah RM534.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 | Golden Destinations yang baru disenaraikan di Pasaran ACE, dibuka pada 49 sen iaitu premium empat sen daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) dengan 15 juta saham diniagakan  | 

Citaglobal, Republik Kyrgyz Akan Bekerjasama Dalam Projek Tenaga

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Citaglobal Bhd hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Tenaga Republik Kyrgyz untuk menjalin kerjasama memajukan projek tenaga di republik itu, khususnya dalam pembinaan kemudahan tenaga boleh baharu.

Kumpulan tenaga, kejuruteraan awam dan pembinaan itu menerusi makluman kepada Bursa Malaysia berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan perbincangan dan analisis bersama berkaitan pelaksanaannya dan membuat keputusan yang dipersetujui bersama.

Mereka juga akan bekerjasama dalam membangunkan program kerjasama dan interaksi yang komprehensif serta cadangan untuk prosedur dan syarat pelaburan yang berkaitan dengan projek, kata syarikat itu. 

Citaglobal berkata MoU itu berkuat kuasa serta-merta bagi tempoh setahun dan setiap pihak boleh pada bila-bila masa menamatkannya dengan memberikan notis bertulis kepada pihak yang satu lagi tidak kurang dua bulan sebelum tamat tempoh MoU.

“Pelaksanaan MoU bagi projek itu sejajar dengan matlamat strategik kumpulan untuk mengembangkan kehadiran dalam sektor tenaga dan mengembangkan jejak antarabangsanya.

“Ketika Republik Kyrgyz memajukan agenda nasionalnya untuk menjadi pengeksport tenaga bersih serantau dan hab tenaga hijau, MoU ini tepat pada masanya dan strategik untuk Citaglobal, sejajar dengan kekuatan teras syarikat dalam tenaga, infrastruktur dan perkongsian serantau,” katanya.

-- BERNAMA