Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah
Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah hari ini, dipengaruhi oleh penyusutan harga minyak kacang soya di Chicago Board of Trade.
Peniaga minyak sawit David Ng memberitahu Bernama bahawa kebimbangan mengenai peningkatan pengeluaran turut mempengaruhi sentimen pasaran.
“Kami melihat paras sokongan pada RM3,850 setan dan paras rintangan pada RM4,080,” katanya.
Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM kekal kebanyakannya mendatar kepada lebih rendah pada separuh kedua dagangan, meneruskan prestasi lemah yang dilihat awal hari ini.
“Peniaga mengambil langkah berhati-hati di tengah-tengah pengenduran premium risiko harga minyak mentah berikutan gencatan senjata yang rapuh antara Israel dan Iran.
“Walaupun mempunyai asas yang kukuh, termasuk eksport lebih tinggi dan pengeluaran yang berkurangan, niaga hadapan sawit bergelut untuk mendapatkan momentum pembelian yang ketara kerana peniaga kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan dalam persekitaran makroekonomi yang lebih luas,” katanya.
Ketika ditutup, kontrak semerta bulan Julai susut RM24 kepada RM3,939 setan, Ogos 2025 merosot RM24 kepada RM3,958 setan dan September 2025 turun RM18 kepada RM3,965 setan.
Oktober 2025 berkurang RM11 kepada RM3,969 setan, November 2025 menyusut RM6 kepada RM3,978 setan dan Disember 2025 menurun RM2 kepada RM3,994 setan.
Jumlah dagangan merosot kepada 64,359 lot daripada 89,335 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka menurun kepada 231,315 kontrak daripada 231,437 sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan kekal tidak berubah pada RM4,000 setan.
-- BERNAMA