BERITA TERKINI   PRN Johor: Senarai calon BN kini di peringkat akhir - Ahmad Zahid | PRN Johor : BN utamakan tawaran terbaik buat rakyat, bukan serangan politik - Ahmad zahid | Koperasi Profesional Putrajaya Berhad catat prestasi baik, rekod tatakelola teratur - PM Anwar | Jangan ada unsur pengkhianatan dalam sebarang kerjasama politik di negara ini - PM Anwar | Aspek tatakelola penting dalam pembangunan, kegiatan koperasi di negara ini - PM Anwar | 

Pavilion Malaysia Di Eskpo 2025 Osaka Capai 1.5 Juta Pelawat Dalam Tempoh Kurang Tiga Bulan

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka mencatat kehadiran lebih 1.5 juta pelawat dalam tempoh kurang daripada tiga bulan sejak pembukaan acara itu pada April lepas, sekali gus melepasi sasaran lebih awal daripada jangkaan.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerusi satu kenyataan berkata pencapaian itu turut disertai kejayaan mencapai lebih 69 peratus daripada keseluruhan sasaran perdagangan dan pelaburan sebanyak RM13 bilion.

“Kejayaan ini memperkukuh momentum pencapaian Malaysia dalam dua matlamat utama penyertaan di Ekspo Dunia, iaitu memacu hasil ekonomi strategik dan memperluas keterlibatan negara dengan masyarakat global,” kata MITI. 

Pengarah Pavilion Malaysia Ellyza Mastura Ahmad Hanipiah berkata sambutan orang ramai serta minat strategik yang diterima amat memberangsangkan.

“Harapan kami adalah untuk terus mencipta pengalaman yang bermakna agar setiap pelawat membawa pulang senyuman dan kenangan manis tentang Malaysia,” katanya. 

--BERNAMA