PKS Malaysia Perlu Terima Guna Teknologi Digital Terutama AI Bagi Pematuhan ESG - Gobind

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia perlu menerima guna teknologi digital terutama kecerdasan buatan (AI) untuk memenuhi jangkaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta berkembang dalam ekonomi masa depan, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata Kementerian Digital menyasar untuk membina ekosistem yang membolehkan transformasi digital negara, antaranya melalui inisiatif yang dilancarkan hari ini -- platform ESGAMConnect yang bertujuan membantu PKS mencapai sasaran ESG masing-masing.

“PKS membentuk sebahagian besar daripada perniagaan di negara kita, kira-kira 97 peratus daripada keseluruhan ekonomi negara, justeru, sektor ini berperanan penting dalam merangsang ekonomi digital negara.

"Saya berharap kerjasama dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Kementerian Digital akan menyokong usaha kita untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan semua PKS mengenai kepentingan ESG pada tahun-tahun akan datang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan platform ESGAMConnect di sini, Isnin.

ESGAMConnect ialah platform ESG dijana AI, dibangunkan oleh Persatuan ESG Malaysia (ESGAM) dan iForte Intelligence Sdn Bhd (iForte).

ESGAMConnect menyediakan ekosistem digital bersepadu yang disokong oleh pembantu maya berasaskan AI bagi membantu perniagaan menguruskan rantaian nilai ESG.

Dalam kenyataan, ESGAM menjelaskan platform itu menawarkan pembelajaran dan pembangunan bakat ESG, alat penilaian digital untuk mengenal pasti jurang ESG serta pasaran khusus sektor yang menghubungkan perniagaan dengan rakan yang diperakui termasuk perunding, jurulatih, juruaudit dan penyedia penyelesaian ESG.

“Platform itu juga menyokong pelaporan ESG dan kesediaan audit, menyediakan rujukan untuk badan akreditasi serta mencadangkan platform dan pasaran kredit karbon yang berkaitan.

“Selain itu, hab pembiayaan dan geran khusus ESGAMConnect menghubungkan perniagaan dengan skim bantuan kerajaan dan kemudahan pinjaman hijau, memangkin pertumbuhan ESG dan memanfaatkan peluang pelaburan baharu,” menurutnya.

Sementara itu,  Penasihat Kehormat dan Pengerusi Pakatan Strategik ESGAM Eric Chong berkata platform itu dijangka dapat menjangkau 1.2 juta PKS di Malaysia melalui kerjasama mereka dengan MDEC, Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM), Persatuan PKS Malaysia (SMEAM) dan Pakatan CSO-SDG Malaysia (MCSA).

Beliau berkata platform yang kini berada di fasa pertama itu akan ditambah baik berdasarkan maklum balas pengguna dan dijangka dipertingkatkan dalam fasa kedua pada suku ketiga atau keempat tahun ini.

-- BERNAMA