BERITA TERKINI   CBH Engineering raih kontrak mereka dan membina sistem bekalan elektrik untuk pencawang pengguna cadangan pusat data di Selangor, bernilai RM171.99 juta | Sistem Alamat Nasional mampu jana limpahan ekonomi RM2 billion, wujud lebih 2,000 pekerjaan dalam lima tahun - Fahmi Fadzil | Bangkai helikopter milik PDRM yang yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah Khamis lepas, berjaya dinaikkan sekitar jam 11 pagi ini. | iCents mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 sen, premium lima sen daripada harga IPO 24 sen, dengan 13.59 juta saham bertukar tangan | 

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Bagi Sesi Dagangan Keempat Berturut-turut

Oleh Zarul Effendi Razali and Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Momentum belian berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih telah mendorong Bursa Malaysia untuk ditutup pada paras tertinggi harian hari ini, menandakan prestasi kukuh  bagi sesi dagangan keempat berturut-turut, kata penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 8.57 mata atau 0.56 peratus kepada 1,541.53 daripada 1,532.96 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks petunjuk aras dibuka 1.03 mata lebih tinggi pada 1,533.99 dan seterusnya mencecah paras terendahnya pada 1,532.29 dalam dagangan awam.

Pasaran yang lebih luas secara umumnya positif dengan 565 kaunter untung mengatasi 389 kaunter rugi, manakala 464 kaunter tidak berubah, 956 kaunter tidak diniagakan dan 14 digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 2.05 bilion unit bernilai RM2.15 bilion berbanding 3.57 unit berjumlah RM2.68 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran serantau juga mencatatkan keuntungan, disokong oleh mata wang tempatan yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan keyakinan bahawa ekonomi Asia boleh memperoleh perjanjian perdagangan dengan Presiden AS Donald Trump. 

“Sentimen semakin meningkat susulan pengumuman AS minggu lepas bahawa ia telah memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan China.

“Pada masa sama, pelabur memerhati dengan teliti perkembangan rang undang-undang pembaharuan cukai berbilion dolar Presiden AS, yang kini sedang dibahaskan di peringkat Senat.

“Bagi peringkat domestik, kami kekal optimistik dengan berhati-hati mengenai sentimen pasaran tempatan yang bertambah baik, disokong oleh pembelian asing yang berterusan.

“Kami mengekalkan pandangan bahawa FBM KLCI mesti berada di atas paras 1,530 bagi mengesahkan trajektori menaik yang berterusan.

“Selaras dengan prospek ini, sasaran mingguan kami bagi indeks kekal pada 1,520–1,550,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pelabur asing berubah menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia bagi hari kedua berturut-turut setakat semalam, menandakan potensi peralihan dalam sentimen di tengah-tengah penilaian pasaran yang agak menarik.

Beliau berkata tumpuan pelabur kekal tertumpu pada tarikh akhir pelaksanaan tarif oleh Trump pada 9 Julai dan laporan senarai gaji bukan ladang AS yang akan datang.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah 2.0 sen kepada RM9.72, Tenaga Nasional naik 52 sen kepada RM14.90, manakala Public Bank susut 5.0 sen kepada RM4.26, CIMB turun 4.0 sen kepada RM6.75, dan IHH Healthcare berkurang 2.0 sen kepada RM6.80.

Dalam kalangan saham paling cergas, Sapura Energy tidak berubah pada 3.5 sen, MyEG naik 1.0 sen kepada 96 sen, manakala Tanco berkurang 2.5 sen kepada 89 sen dan Top Glove susut 1.5 sen kepada 69.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 76.82 mata kepada 11,524.59, Indeks FBMT 100 naik  74.06 mata kepada 11,303.82, dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 123.17 mata kepada 11,561.41.

Indeks FBM 70 menokok 157.76 mata kepada 16,557.37 dan Indeks FBM ACE naik 22.08 mata kepada 4,492.01.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 45.94 mata kepada 17,604.64, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.47 mata kepada 154.30, Indeks Perladangan melonjak 51.96 mata kepada 7,402.16, dan Indeks Tenaga menambah 6.26 mata 741.54.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.40 bilion unit berjumlah RM2.02 bilion berbanding 1.52 bilion unit bernilai RM2.38 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 426 juta unit bernilai RM45.13 juta daripada 1.75 bilion unit bernilai RM210.62 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 224.45 juta unit berjumlah RM83.02 juta berbanding 302.07 juta unit bernilai RM84.63 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 183.99 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (179.86 juta), pembinaan (138.74 juta), teknologi (162.14 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (62.12 juta), hartanah (232.21 juta), perladangan (12.53 juta), REITs (27.70 juta), dana tertutup (238,400), tenaga (178.55 juta), penjagaan kesihatan (91.15 juta), telekomunikasi dan media (52.60 juta), pengangkutan dan logistik (11.18 juta), utiliti (67.83 juta), dan amanah perniagaan (65,300).

-- BERNAMA