BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Aspek Pelaburan, Kerjasama Ekonomi Dengan Tiga Negara Dijangka Diumum Selepas Lawatan PM

PUTRAJAYA, 2 Julai (Bernama) -- Beberapa inisiatif baharu melibatkan pelaburan dan kerjasama ekonomi strategik antara Malaysia dan Itali, Perancis serta Brazil dijangka diumumkan selepas lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara tersebut, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi, yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata lawatan kerja Perdana Menteri yang bermula semalam hingga 7 Julai, adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan negara terlibat.

"Selain (itu, lawatan kerja itu juga bertujuan untuk) mempromosi kerjasama ekonomi di peringkat global.

"Kita boleh jangkakan beberapa perbincangan menyentuh aspek pelaburan dan kerjasama ekonomi yang lebih erat akan diumumkan kelak," katanya dalam sidang media mingguan di sini hari ini.

Siri lawatan Perdana Menteri ini bermula dengan lawatan rasmi tiga hari ke Itali, yang merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala di samping menggalakkan kerjasama ekonomi di peringkat global.

Lawatan ke hab ekonomi utama ini - Rom, Paris, dan Rio de Janeiro - bertujuan mengukuhkan hubungan diplomatik dan hubungan perdagangan Malaysia dengan negara masing-masing.

Dalam lawatan ini beliau turut diiringi oleh delegasi perniagaan, yang merangkumi wakil daripada syarikat-syarikat besar Malaysia, termasuk Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Khazanah Nasional Bhd, TNB, Maybank, FGV, YTL Power dan Sunway.

Lawatan Anwar buat kali pertama ke Itali adalah atas jemputan Perdana Menteri Giorgia Meloni.

Sementara itu, di Paris, Anwar dijadualkan bertemu Presiden Emmanuel Macron, dengan perbincangan antara kedua-dua pemimpin itu bertumpu kepada aspek perdagangan, teknologi dan pendidikan.

Selepas Paris, Anwar akan berada di Rio de Janeiro untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-17 atas jemputan Presiden Luiz Inácio Lula da Silva.

Peranan Malaysia sebagai negara rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN untuk 2025 akan menekankan kepentingan multilateralisme berdasarkan undang-undang, tadbir urus kecerdasan buatan, tindakan iklim, dan kesihatan global, mewakili aspirasi lebih 650 juta warga ASEAN.

Anwar juga akan menghadiri Sidang Kemuncak BRICS sebagai negara rakan kongsi dalam blok itu yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.

-- BERNAMA