BERITA TERKINI   Pengendalian dron tanpa kelulusan boleh datangkan risiko keselamatan, tindakan di bawah Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016 - CAAM | Aktiviti dron, pesawat tanpa pemandu dilarang di kawasan terlibat dengan raptai dan sambutan Hari Kebangsaan - CAAM | Hari Kebangsaan: Ruang udara kawasan kawalan Terminal Kuala Lumpur ditutup pada 26-29 Ogos dan 31 Ogos - CAAM | Kesan pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik dan diesel membolehkan kerajaan mempunyai ruang fiskal lebih luas biayai program kebajikan rakyat - Amir Hamzah | Kerajaan dalam fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dengan semua pihak berkepentingan - Amir Hamzah | 

Semakan SST Tidak Wajar Dijadikan Alasan Naikkan Kadar Hotel - MOF

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan bahawa semakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk menaikkan kadar bilik hotel.

Kementerian itu berkata semakan SST yang berkuat kusa pada 1 Julai tidak melibatkan sebarang perubahan kepada cukai perkhidmatan yang dikenakan ke atas penginapan hotel atau makanan dan minuman F&B yang disediakan di hotel.

"Semakan SST tidak memberi kesan ke atas barangan keperluan harian asas, namun mungkin memberi kesan tidak langsung kepada hotel melalui peluasan skop cukai perkhidmatan ke atas penyewaan premis komersial serta cukai jualan ke atas makanan tertentu seperti makanan laut premium dan buah-buahan import.

"Bagaimanapun, kesan tidak langsung ini dijangka tidak menyebabkan peningkatan kos operasi hotel sehingga 10 hingga 15 peratus," kata MOF.

Kementerian tersebut berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan kenaikan kadar bilik hotel susulan peluasan skop SST seperti dakwaan beberapa persatuan hotel.

Persatuan itu mendakwa sesetengah pengusaha hotel perlu menaikkan harga bilik sebanyak 10 hingga 15 peratus berikutan semakan struktur cukai tersebut.

MOF berkata sekiranya terdapat hotel yang menaikkan kadar bilik dengan alasan SST, kerajaan menerusi Kementerian Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan meneliti perkara tersebut bagi mengelakkan kenaikan harga yang tidak munasabah.

"Jika terdapat hotel yang menaikkan kadar bilik sehingga 15 peratus dengan alasan SST, kerajaan melalui KPDN akan meneliti kesan sebenar SST terhadap hotel-hotel terbabit bagi memastikan tiada unsur pencatutan," katanya.

-- BERNAMA