BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turun 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Perjanjian Pembelian Pesawat AirAsia-Airbus Sokong Aspirasi Malaysia Jadi Hab Penerbangan Utama Rantau Asia

Daripada Arul Rajoo Durar Raj

PARIS, 4 Julai (Bernama) -- Pemeteraian perjanjian pembelian pesawat A321XLR antara AirAsia dan Airbus akan mengukuhkan lagi keupayaan operasi syarikat penerbangan itu bagi laluan jarak dekat dan sederhana.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perolehan ini bukan sahaja memperluas rangkaian penerbangan, malah menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab penerbangan utama di rantau Asia.

Anwar berkata demikian selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian itu di sini hari ini.

AirAsia menandatangani perjanjian untuk membeli pesawat jarak jauh Airbus 321XLR bernilai US$12.25 bilion (RM51.72 bilion), dengan serahan disahkan pada 2028.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Airbus di Paris hari ini untuk 50 buah A321XLR dengan hak untuk 20 buah A321XLR, kumpulan pesawat baharu yang disasarkan untuk beroperasi antara lain ke Asia Tengah, Timur Tengah dan Eropah.

Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara 3P Capital Adviser dan Ardian, syarikat pelaburan persendirian terkemuka dari Perancis dalam usaha meneroka peluang pelaburan dalam pasaran persendirian. 

Inisiatif sektor swasta ini mampu membuka akses lebih luas kepada rakyat Malaysia terhadap pelaburan alternatif, kata beliau.

Dalam pertemuan bersama Imerys, syarikat pemproses mineral industri yang telah bertapak di Malaysia selama lebih 25 tahun, Anwar berkata beliau dimaklumkan mengenai komitmen syarikat itu untuk memperluas operasi dan menyokong pembangunan sektor pembuatan bernilai tinggi dan mesra alam di negara ini.

Selain itu, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan pimpinan Arkema, peneraju global dalam bidang kimia khas yang sedang menilai potensi pelaburan baharu di Malaysia. 

Menurut beliau, syarikat itu berupaya mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi, mempercepat pemindahan teknologi dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama bioekonomi di rantau Asia.

Anwar yang mengetuai delegasi Malaysia kini berada di ibu kota Perancis sempena lawatan rasmi selama dua hari ke negara itu.

-- BERNAMA