Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Berikutan Prospek Pengeluaran Melemah

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini, disokong oleh jangkaan pengeluaran yang melemah.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata para peniaga menjangkakan pengeluaran di Malaysia akan berkurangan dalam beberapa minggu akan datang, sekali gus menyokong harga.

“Faktor bermusim dan keadaan cuaca berkemungkinan melambatkan aktiviti penuaian, sekali gus membawa kepada unjuran bekalan minyak sawit Malaysia yang terhad,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata prestasi eksport yang kukuh turut menyokong harga apabila permintaan yang kuat daripada pembeli-pembeli utama membantu menyerap bekalan.

“Kami melihat paras sokongan pada RM4,000 setan dan paras rintangan pada RM4,150 setan,” katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Julai meningkat RM15 kepada RM4,010 setan, Ogos 2025 naik RM9 kepada RM4,062 setan dan September 2025 menokok RM9 kepada RM4,071 setan.

Kontrak Oktober 2025 melonjak RM9 kepada RM4,073 setan, November 2025 bertambah RM5 kepada RM4,070 setan dan Disember 2025 meningkat RM3 kepada RM4,075 setan.

Jumlah dagangan menurun kepada 52,221 lot berbanding 64,163 lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 228,491 kontrak berbanding 224,873 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan naik RM20 kepada RM4,070 setan.

-- BERNAMA