BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

ChemOne Peroleh Perlindungan Insurans Islam US$350 Juta Daripada Unit ISDB

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- ChemOne Group telah memperoleh perlindungan insurans Islam sebanyak US$350 million (US$1 = RM4.23) daripada unit Islamic Development Bank (IsDB), Islamic Corporation untuk Insurans Pelaburan dan Kredit Eksport (ICIEC).

Dalam satu kenyataan hari ini, konglomerat petrokimia, tenaga hijau dan sumber asli berpangkalan di Singapura itu berkata perlindungan itu direka bagi menyokong bank Islam yang terbabit dalam pembiayaan projek Pengerang Energy Complex Sdn Bhd (PEC), yang menekankan keyakinan kukuh institusi dan nilai strategik jangka panjang projek itu kepada Johor.

Perlindungan ICIEC distrukturkan mengikut kemudahan pembiayaan Murabahah, menyediakan perlindungan 90 peratus bagi kedua-dua prinsipal dan keuntungan, menyah risiko dengan ketara bagi transaksi bagi bank Islam yang mengambil bahagian, termasuk Bank Negara Kuwait, Bank Negara Qatar, Al Rajhi Bank Malaysia dan Al Rajhi Bank Arab Saudi.

Ketua Pegawai Eksekutif ChemOne Mayank Vishnoi berkata sokongan ICIEC mengiktiraf kekuatan kewangan PEC dan kessan pembangunannya yang meluas.

“PEC akan memacu pertumbuhan perindustrian serantau, mewujudkan ribuan peluang pekerjaan dan menyokong rantaian nilai serantau kepada semua sambil mematuhi piawaian global bagi pembiayaan yang mampan dan bertanggungjawab,” katanya.

ChemOne juga berkata IsDB Group menerusi IsDB dan Perbadanan untuk Pembangunan Sektor Swasta Islam (ICD) telah melakukan pelaburan langsung sebanyak US$150 juta mengikut struktur Istisna-Ijara.

“Dengan sokongan penuh IsDB Group kepada PEC, termasuk kedua-dua pelaburan langsung dan pengukuhan kredit, melebihi US$500 juta, menjadikannya salah satu penglibatan penting kumpulan itu di Asia Tenggara.

“Penglibatan ICIEC ini didorong oleh asas kewangan kukuh, disokong oleh penarafan kredit Standard & Poor's AA- dan Moody’s Aa3 serta mencerminkan mandat utamanya untuk mempromosikan pelaburan di seluruh negara anggota,” katanya.

-- BERNAMA