BERITA TERKINI   Anak syarikat Pansar Bhd, Perbena Emas Sdn Bhd memperoleh kontrak RM234.88 juta daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak untuk naik taraf Loji Rawatan Air Kaki Wong di Saratok | Semua pengimportan kenderaan elektrik CBU yang dipasang siap di luar negara adalah tertakluk kepada dua syarat utama bermula 1 Julai 2026 - MITI | MITI benarkan baki stok sedia ada dijual mengikut ketetapan dalam tempoh pengecualian khas sehingga habis | Dasar berkaitan kenderaan elektrik CBU dikembalikan kepada ketetapan sedia ada susulan penamatan tempoh pengecualian khas pada 31 Dis 2025 - MITI | Seorang lelaki berusia 70 tahun menjadi jemaah kedua meninggal dunia di Makkah akibat serangan jantung- Tabung Haji | 

SC, Durham University Meterai MoU Majukan Pendidikan Pasaran Modal Islam

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Universiti Durham menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk mengukuhkan kerjasama dalam pembinaan kapasiti, perkongsian pengetahuan, dan inisiatif bersama dalam bidang kewangan Islam dan pasaran modal Islam (ICM).

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, SC berkata Kursus Musim Panas Pasaran Modal Islam (ICM Summer School) yang julung kali diadakan ini dianjurkan bersama Pusat Ekonomi dan Kewangan Islam Durham, Pengajian Perniagaan Universiti Durham.

Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata ICM Summer School adalah satu titik penting dalam memupuk pemimpin berwawasan untuk masa depan kewangan Islam, didorong oleh komitmen bersama untuk memajukan kapasiti dan kepimpinan pemikiran dalam industri, daripada pengamal kepada sarjana berpengalaman.

"Dengan menerapkan prinsip Maqasid al-Shariah, kami menyasarkan untuk membina pasaran modal yang beretika, mampan dan inovatif. Kerjasama dengan Universiti Durham ini melengkapkan golongan profesional ke arah mengukuhkan kepimpinan global Malaysia dalam kewangan Islam.

"SC menyasarkan Maqasid al-Shariah menjadi faktor pembeza strategik, memacu inovasi dan kerjasama dalam kalangan badan kawal selia dan pemain industri Islam di seluruh dunia," katanya.

Mohammad Faiz turut berkata inisiatif tersebut mencerminkan komitmen yang kuat untuk memajukan nilai-nilai yang digariskan dalam Maqasid al-Shariah Islamic Capital Market Guidance yang diperkenalkan oleh SC pada 2023.

Program Summer School ICM akan berlangsung dari 2025-2027 dengan satu kohort setiap tahun, sementara kohort pertama terdiri daripada 15 peserta dalam program hibrid selama sebulan bermula pada suku ketiga tahun ini.

SC berkata program eksekutif lanjutan ini direka untuk profesional dan pemimpin peringkat pertengahan hingga kanan dalam industri kewangan Islam, dengan sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman kerja yang berkaitan.

Setelah menyelesaikan modul intensif dalam talian, peserta akan menghadiri kelas induk lima hari di Universiti Durham. Peserta yang menamatkan program ini akan menerima pensijilan bersama daripada SC dan Universiti Durham.

Kurikulum program termasuk bidang utama iaitu Sukuk, ekuiti Islam, produk patuh Syariah, fintech, kemampanan, rangka kerja kawal selia, dan inovasi produk, dengan fokus utama ialah penerapan prinsip Maqasid al-Shariah untuk menggalakkan amalan pasaran modal dan kewangan Islam yang beretika, inklusif dan mampan, kata SC.

-- BERNAMA