BERITA TERKINI   PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | 

Petronas Hantar Kargo LNG Pertama Dari Kemudahan LNG Canada

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berjaya menghantar kargo gas asli cecair (LNG) pertama daripada fasiliti baharu yang baru beroperasi, LNG Canada, terletak di Kitimat, British Columbia (B.C.), Kanada.

Dalam kenyataan pada Selasa, Petronas menjelaskan penghantaran itu berlepas ke Jepun hari ini dengan menggunakan kapal LNG Puteri Sejinjang berkapasiti 174,000 meter padu, sekali gus menjadi pencapaian penting dalam pelaburan Petronas di Kanada.

“Pencapaian ini memperkukuh kedudukan Petronas sebagai pembekal LNG boleh dipercayai, dengan LNG Canada menjadi strategi tambahan kepada rangkaian bekalan global kami yang semakin berkembang.

“Inovasi di fasiliti ini membolehkannya beroperasi dengan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang kira-kira 35 peratus lebih rendah daripada loji LNG berprestasi terbaik sedia ada di seluruh dunia, dan 60 peratus lebih rendah daripada purata global, sejajar dengan komitmen Petronas untuk membekalkan LNG berkarbon rendah yang diperoleh secara bertanggungjawab,” menurut Petronas.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim Petronas Datuk Adif Zulkifli berkata penghantaran pertama itu merupakan hasil usaha gigih bertahun-tahun untuk merealisasikan visi Petronas bagi eksport LNG Canada ke rantau Asia Pasifik.

“Kami berasa bertuah dapat meraikan detik bersejarah ini bersama LNG Canada, rakan usaha sama lain, Haisla Nation, komuniti Kitimat dan rakyat Kanada secara keseluruhan. Petronas gembira menjadi sebahagian daripada projek pertama seumpamanya di Kanada,” katanya.

Fasiliti LNG Canada dilengkapi dengan turbin gas cekap tenaga, sistem pengesanan dan mitigasi kebocoran metana yang canggih, serta bekalan tenaga daripada grid BC Hydro yang sebahagian besarnya dijana oleh tenaga hidroelektrik dan tenaga boleh baharu.

Petronas turut memaklumkan menerusi pegangan ekuiti sebanyak 25 peratus dalam projek itu melalui entiti milik penuhnya, North Montney LNG Limited Partnership, LNG Canada merupakan komponen penting dalam strategi LNG global Petronas untuk mempelbagaikan portfolio bekalan dan meningkatkan fleksibiliti pasaran.

-- BERNAMA