BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

CIDB: ICW-BuildXpo 2025 Kembali Ke MITEC Selepas Kemunculan Sulung Di Borneo

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) ke-27 & Pameran Industri Bangunan dan Pembinaan Antarabangsa Malaysia (BuildXpo) 2025 dijadualkan berlangsung dari 28 hingga 30 Oktober, 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Acara itu diadakan selepas kejayaan ICW Borneo 2025 yang berlangsung di Kuching, Sarawak pada Mei.

Penganjur acara, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), mengumumkan dalam satu kenyataan hari ini bahawa pameran itu akan menampilkan persidangan peringkat tertinggi, forum khusus, pertandingan teknikal dan pameran perdagangan yang menarik.

Dengan kerjasama Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd dan dihoskan oleh Kementerian Kerja Raya, CIDB berkata kembalinya acara utama industri pembinaan ini adalah bersempena dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

"Acara ini akan membina momentum daripada edisi sulung Borneo yang telah menyaksikan lebih daripada 3,000 peserta berkumpul untuk membincangkan masa depan pembangunan mampan dan dipacu teknologi untuk ASEAN.

"ICW Borneo 2025 menjana anggaran jualan hampir RM48 juta pada pameran perdagangan rasmi, BuildXpo," katanya.

Diadakan di bawah tema “Constructing the Future of ASEAN”, CIDB berkata ICW dan BuildXpo 2025 mencerminkan kepimpinan dwi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan Presiden Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2025–2029, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara di barisan hadapan dalam hala tuju dasar serantau dan transformasi bandar global.

-- BERNAMA