Schneider Electric Kenal Pasti Tiga Bidang Bagi Pacu Kemampanan Dalam Hartanah
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Schneider Electric Industries (Malaysia) Sdn Bhd telah mengenal pasti tiga bidang kritikal yang memerlukan tindakan tegas industri hartanah untuk mengukuhkan kemampanan dan daya tahan, iaitu berdasarkan hasil tinjauan Green Impact Gap 2024 yang dilaksanakannya.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata perubahan iklim bukan lagi sekadar ancaman, tetapi kekal sebagai kebimbangan utama keselamatan tenaga, dan sekatan seperti sumber yang terhad dan daya tahan dalaman berterusan untuk menghalang perkembangan perniagaan.
“Dengan perubahan iklim kini menjadi satu ancaman yang nyata, syarikat perlu beralih daripada pendekatan reaktif kepada strategi proaktif. Dengan memanfaatkan peralatan digital, analisis ramalan dan sistem pengurusan tenaga dan kemampanan yang bersepadu, syarikat boleh memantau risiko secara masa nyata, meramal gangguan dan mengoptimumkan penggunaan tenaga.
“Ini akan membolehkan mereka mengurangkan pelepasan karbon, menjimatkan kos dan memenuhi keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang semakin meningkat,” katanya.
Menurut syarikat itu keselamatan tenaga terus menjadi isu yang membimbangkan, sekali gus menekankan keperluan kepada strategi tenaga yang pelbagai dan berdaya tahan.
“Schneider Electric menyarankan penggunaan tenaga boleh ubah, grid mikro, pengurusan tenaga pintar bagi memastikan usaha kemampanan bukan sahaja berkesan tetapi juga mampan untuk jangka masa panjang,” katanya.
Selain itu, syarikat tersebut juga mengakui sumber yang terhad dan cabaran dalaman yang dihadapi oleh perniagaan boleh menjejaskan usaha mereka untuk mematuhi Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA).
“Itulah sebabnya kami bekerjasama rapat dengan rakan kongsi kami untuk menyelaraskan strategi dengan tindakan, mengenal pasti pencapaian awal dan mengintegrasikan elemen kemampanan ke dalam teras operasi syarikat.
“Apabila kemampanan dijadikan keutamaan strategik, ia berupaya memacu nilai jangka panjang yang kukuh. Ketika inilah kami akan memainkan peranan, bukan hanya menyediakan teknologi dan peralatan digital, tetapi juga dengan sokongan menerusi kerjasama, bimbingan dan kepakaran yang dikongsi bersama,” katanya.
-- BERNAMA