Sedekad Penubuhan: Sidec Terus Mengorak Langkah Pacu Transformasi Digital, Pertumbuhan Usahawan Selangor
SHAH ALAM, 9 Julai (Bernama) -- Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) meraikan ulang tahun ke-10 penubuhannya baru-baru ini dengan mengambil beberapa langkah strategik bagi terus memacu transformasi digital dan pertumbuhan keusahawanan di Selangor.
Majlis bersejarah yang disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari serta dihadiri pemimpin kerajaan, pihak berkepentingan korporat, rakan teknologi serta tetamu antarabangsa itu menyaksikan tiga tokoh dilantik sebagai penasihat bagi memperkukuh hala tuju Sidec dalam inovasi, pembangunan bakat dan kepimpinan serantau dalam ekonomi digital.
Tiga tokoh terbabit terdiri daripada bekas Naib Presiden NVIDIA Corp dan Foxconn Datuk Lai Yit Loong serta Pengarah Foxconn dan bekas Co-COO TSMC Dr. Chiang Shang-Yi yang juga penasihat kepada Malaysia Semiconductor IC Design Park dan Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM), dengan kedua-dua tokoh akan menumpukan kepada pembangunan bakat dan kerjasama rentas sempadan dalam bidang teknologi serta pembuatan semikonduktor, selain berkongsi pengalaman luas mereka dalam inovasi semikonduktor global dan pembangunan industri.
Turut dilantik Pengerusi Eksekutif Polity, iaitu sebuah badan pemikir baharu, Nurul Izzah Anwar yang bertujuan membawa wawasan bernilai dalam dasar awam, pembangunan sosioekonomi dan pemerkasaan digital.
Sidec dalam kenyataan berkata pelantikan itu menandakan satu langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab inovasi serantau dan mempercepat kemajuan ekosistem semikonduktor negara.
Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) tiga hala antara Sidec, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Artem Ventures, bagi memuktamadkan penubuhan Dana Semikonduktor Selangor (SSF), iaitu inisiatif modal teroka pertama di Malaysia yang diterajui kerajaan negeri khusus untuk mempercepat pembangunan industri semikonduktor negara.
Dana tersebut akan diterajui kerajaan negeri Selangor menerusi Sidec dan PNSB serta dikendalikan bersama Artem Ventures.
"SSF pula memberi tumpuan kepada sokongan pemula dan syarikat permulaan (startup) dan perluasan operasi (scaleup) berpotensi tinggi dalam tiga bidang utama: reka bentuk litar bersepadu (IC), cip kecerdasan buatan (AI) dan penyelesaian semikonduktor termaju," menurut kenyataan itu.
Majlis ulang tahun itu turut meraikan graduan pertama Program Pertukaran Semikonduktor Global (GSEP), iaitu inisiatif latihan antarabangsa selama dua bulan di bawah ASEM yang dijalankan di Shenzhen, China.
Program tersebut melatih 30 peserta, yang terpilih daripada 343 permohonan, dengan kemahiran praktikal dalam Reka Bentuk IC Digital termasuk penggunaan alat EDA, Verilog HDL dan verifikasi peringkat sistem.
"Para peserta turut menjalani lawatan industri ke organisasi teknologi terkemuka seperti HONOR, Reexen Technology, National IC Innovation Center dan Persidangan Dron Dunia Kesembilan, yang menambahkan lagi pendedahan global mereka," menurut kenyataan itu.
Menurut Sidec, semua pencapaian itu bukan sahaja memperingati perjalanan syarikat selama sedekad, malah menjadi titik tolak kepada lembaran baharu yang memberi tumpuan kepada kerjasama global, inovasi teknologi mendalam dan pembinaan ekonomi digital yang mampan.
Sidec juga menzahirkan komitmen untuk terus memperkasakan generasi baharu usahawan, teknologis dan inovator negara, selaras dengan aspirasi Selangor untuk memimpin transformasi Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi.
Sidec ialah anak syarikat milik penuh Invest Selangor Berhad yang ditubuhkan bagi memacu transformasi digital negeri menerusi tiga teras utama iaitu e-dagang, pembangunan syarikat pemula serta bandar pintar dan digitalisasi.
-- BERNAMA