BERITA TERKINI   RUU Perolehan Kerajaan tidak sama sekali menambah kuasa, sebaliknya mengehadkan kuasa Menteri Kewangan dengan memperkenalkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh - Amir Hamzah | 98.8 peratus daripada sasaran 500,000 pembinaan rumah mampu milik dicapai dalam RMK12 - PM Anwar | RUU Pembaharuan Semula Bandar perlu dilaksanakan bagi bina kediaman lebih selesa untuk rakyat - PM Anwar | Kerajaan beri tumpuan kepada projek keutamaan seperti NSS dan JS-SEZ tanpa meminggirkan pembangunan di negeri lain dalam Kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 - PM Anwar | Kerajaan pastikan agihan adil kepada negeri untuk pembangunan dan kesalinghubungan digital - PM Anwar | 

Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS Di Tengah-tengah Ketegangan Perdagangan

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Ringgit melantun semula untuk ditutup lebih tinggi hari ini apabila dolar AS menyusut di tengah-tengah peningkatan ketegangan perdagangan susulan pengumuman tarif baharu Amerika Syarikat (AS) ke atas lebih banyak negara, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.2410/2505 berbanding dolar AS daripada 4.2500/2540 pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS jatuh 0.12 peratus apabila Presiden AS Donald Trump mengumumkan bahawa beliau akan mengenakan tarif import sebanyak 50 peratus bagi tembaga berkuat kuasa 1 Ogos.

"Dasar seperti itu dijangka meningkatkan kos menjalankan perniagaan di AS dan seterusnya akan menjejaskan trajektori pertumbuhan jangka panjang kerana ketidaktentuan yang berpanjangan boleh menjejaskan perniagaan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, para pelabur akan mengalihkan tumpuan mereka pada pengumuman data awal tuntutan pengangguran AS lewat hari ini kerana ia akan menjadi penunjuk ekonomi penting yang boleh mempengaruhi dinamik pasaran.

Pada penutup dagangan, ringgit ditutup kebanyakannya lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7716/7845 daripada 5.7787/7842 pada Rabu dan meningkat sedikit berbanding euro kepada 4.9751/9863 daripada 4.9780/9827.

Bagaimanapun, ringgit menyusut berbanding yen kepada 2.9014/9081 daripada 2.8983/9012 sebelumnya.

Unit tempatan ditutup bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3159/3236 daripada 3.3182/3219 pada Rabu, susut berbanding baht Thai kepada 13.0196/0548 daripada 12.9946/13.0128, diniagakan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 261.3/262.1 dan peso Filipina pada 7.51/7.53.

-- BERNAMA