BERITA TERKINI   Speaker sahkan belum dimaklum sidang khas bubar DUN Johor pada 24 Jun seperti dilapor media | Umat Islam di Malaysia sambut Aidiladha pada 27 Mei - Pemangku Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja | Kerajaan bincang tingkat kuota BUDI95 bagi penghantar makanan p-hailing kepada 250 liter Selasa ini - Anwar | Kaedah IBS projek Sekolah Angkat MADANI percepat pembinaan, jimat kos hingga 30 peratus - Amir Hamzah | Menteri Kewangan akan bertemu Sultan Pahang perjelas isu peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Pahang - Amir Hamzah | 

Syarikat MNC ASEAN Berpotensi Jadi Pemangkin Hadapi Cabaran Ekonomi - Liew

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Kemunculan lebih banyak syarikat multinasional (MNC) berpangkalan di ASEAN yang mempunyai hubungan erat dengan firma Amerika Syarikat (AS) berpotensi memainkan peranan utama dalam mengharungi cabaran ekonomi semasa dan membentuk kerangka pertumbuhan serantau yang baharu.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata penting bagi Malaysia untuk mula membayangkan ASEAN yang membangunkan MNC sendiri, di Indonesia, Malaysia dan Singapura, dan tidak hanya bergantung semata-mata kepada industri dipacu pelaburan langsung asing (FDI).

Beliau berkata sudah tiba masanya syarikat AS mengiktiraf  peningkatan keupayaan dalam kalangan perniagaan ASEAN.

Kemunculan lebih banyak syarikat multinasional berasaskan ASEAN bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat AS, malah turut menyumbang kepada ekonomi global, khususnya rantau ASEAN, katanya.

“Kita perlu menilai semula kebergantungan kepada perindustrian berasaskan FDI yang disasarkan untuk eksport ke AS.

“Selama 80 tahun, strategi utama di banyak negara Asia adalah menjadi kaya dengan mengeksport ke AS. Namun, keadaan telah berubah berikutan AS semakin mengehadkan import," kata Liew.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kertas Putih Majlis Perniagaan AS-ASEAN bertajuk “Driving ASEAN Unity: Malaysia’s Vision for 2025”, hari ini.

Bagi merealisasikan matlamat tersebut, Liew berkata syarikat Malaysia memerlukan sokongan daripada pelbagai agensi dan bank-bank pembangunan untuk menggerakkan pendanaan, sekali gus dapat melaksanakan visi itu dengan berkesan.

Beliau mengambil Grid Kuasa ASEAN sebagai contoh, dengan menekankan keperluan pembiayaan campuran.

“Ia tidak boleh digerakkan semata-mata oleh sektor swasta atau sepenuhnya oleh kerajaan. Sebaliknya, satu bentuk pembiayaan campuran diperlukan,” katanya.

Liew berkata Grid Kuasa ASEAN perlu mengutamakan akses yang saksama, bagi memastikan bekalan elektrik dapat dinikmati semua komuniti di seluruh rantau ini, sekali gus membolehkan ASEAN berkembang bersama sebagai sebuah masyarakat kelas pertengahan yang bersatu.

-- BERNAMA