BERITA TERKINI   Liga Super: Selangor 5-2 Terengganu | Liga Super: KL City 3-1 PDRM | 

Aik Cheong Rancang Matlamat Global Di Ekspo Osaka 2025

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Ekspo Osaka 2025 telah dijadikan platform strategik untuk Aik Cheong Coffee Roaster Sdn Bhd bagi mengukuhkan kehadiran antarabangsanya dan mempamerkan kecemerlangan tempatan Malaysia dalam pentas bertaraf dunia.

Pengarahnya, Tang Joo Shen berkata ekspo itu menawarkan pendedahan kepada lebih daripada 28 juta pelawat termasuk media global, yang dijangka akan memperkuatkan kedudukan Aik Cheong sebagai jenama yang bersedia berskala dengan matlamat, bukan sekadar keuntungan.

"Cita-cita global ini tidak berakhir setakat di Osaka. Matlamat Aik Cheong adalah jelas iaitu untuk menjadi jenama kopi tempatan terbesar menjelang 2030, dengan jejak yang semakin berkembang di pasaran antarabangsa.

"Matlamat kami adalah untuk membina ekosistem jenama yang menghormati dari mana pelanggan datang, mencerminkan hala tuju dunia selain terus melayani kehendak pengguna moden," katanya melalui satu kenyataan kepada Bernama. 

Ditubuhkan pada 1955 di Melaka, Aik Cheong telah berkembang menjadi salah satu jenama minuman warisan yang paling dikenali di Malaysia, kini dipasarkan di lebih daripada 40 negara.

Tang menekankan bagi membawa wawasan syarikat itu ke dalam kehidupan, Aik Cheong menggunakan strategi yang berani, berpandangan ke hadapan dengan penggunaan teknologi baharu, penjenamaan silang serta kerjasama dengan pemula niaga.

"Inilah kaedah bagaimana kami kekal relevan. Ini adalah penetapan minda yang menggabungkan warisan dengan ketangkasan, gabungan yang sangat jarang ada dalam ruang makanan dan minuman (F&B) hari ini.

"Dalam ketika Aik Cheong merancang bab seterusnya, satu perkara yang pasti: ini bukan lagi sekadar jenama kopitiam. Ini adalah kajian kes bagaimana warisan Malaysia dapat berkembang untuk relevan di peringkat global," katanya, sambil menambah melalui ekspo tersebut dan seterusnya, Aik Cheong bukan setakat membuat kopi tetapi ia sedang memenuhi wawasan.

Di samping itu, Tang berkata Ekspo Osaka 2025 akan meletakkan jenama itu bukan hanya sebagai pemanggang kopi tetapi simbol bagaimana jenama Malaysia mendefinisikan diri mereka untuk masa depan. 

Bagi Aik Cheong, pengembangan antarabangsa ini bukan untuk meraih angka jualan sahaja, ia adalah pelaburan jangka panjang yang dibina di atas pemahaman pasaran yang mendalam.

"Kami tidak tergesa-gesa memasuki pasaran baharu. Pendekatan kami bermula dengan tinjauan pasaran serta pencarian rakan kongsi yang tepat disebabkan kemasukan yang lemah boleh merosakkan jenama. 

"Di negara-negara Barat, permintaan bersandar kepada minuman segera tetapi di Asia dan Timur Tengah, minuman segera masih berkembang. Sejak lima tahun lepas, tumpuan kami adalah disini," kata Tang.

Syarikat itu telah membuat langkah-langkah yang ketara dalam mempelbagaikan penawarannya bermula dari siri IT'S  kepada bru sejuk dan krimer berasaskan kelapa yang disasarkan kepada pengguna yang mahukan pilihan yang lebih sihat.

"Sejak Covid, pasukan kami telah meningkatkan usaha. Kami telah melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain menjadi yang pertama dalam melancarkan caramel macchiato segera di Malaysia dan Asia Tenggara, inovasi tidak terhad kepada rasa sahaja," katanya.

Tang menyatakan bahawa Aik Cheong juga sedang menerajui penceritaan produk dan penjenamaan kreatif, yang mana ia kini sedang menjadi trend di seluruh Shopee, Lazada dan TikTok.

"Terima kasih kepada usaha kreatif pasukan kami ke arah keseronokan, reka bentuk minimalis dan kempen digital-pertama. Idea-idea ini bukan sahaja digunakan pada peringkat tempatan, ianya turut dipakai dalam pasaran antarabangsa," katanya sambil menambah bahawa komitmen terhadap inovasi melangkaui pembangunan produk, ia tersemai dalam bagaimana syarikat beroperasi dan berhubung dengan pelanggan.

Tang menekankan bahawa pasukan e-dagang Aik Cheong memainkan peranan penting dalam pelancaran produk, penglibatan pengguna termasuk analisis pasaran, ini memastikan jenama itu berkembang bersama pelanggannya. 

"Di sebalik tabir, strategi perolehan yang berpandangan ke hadapan memastikan kualiti tetap tidak dikompromi walaupun skala jenama. Pasukan rantaian bekalan kami bekerja sedaya-upaya bermula dengan penyumberan kepada sesi R&D dengan pembekal tempatan dan antarabangsa kami bagi meningkatkan penawaran semasa selain meneroka idea-idea baharu.

"Perkongsian tetap menjadi bahagian teras daripada strategi ekuiti jenama jangka panjang Aik Cheong, bukan hanya untuk penglihatan tetapi impak. Perkongsian melalui Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 membolehkan kami memperluaskan jangkauan termasuk menyumbang secara bermakna melalui CSR dan memceritakan budaya kami," katanya.

Tang berkata penetapan minda ini mencerminkan jenama yang tidak mengejar populariti sementara tetapi nilai, membangunkan kehadiran melalui penjajaran yang dipertimbangkan dengan platform yang mampu melonjakkan industri F&B Malaysia secara menyeluruh.

"Ekspo Dunia di Osaka menandakan peristiwa penting bagi Aik Cheong. Matlamat kami adalah untuk mempamerkan sebuah syarikat Malaysia yang berakar umbi dalam budaya, namun progresif dalam inovasi.

"Jika kami boleh membuka pintu kepada perkongsian perniagaan bhaaru, itu lebih baik tetapi pada terasnya, ini adalah mengenai mewakili Malaysia di pentas dunia," katanya. 

-- BERNAMA