BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

Bursa Malaysia Dijangka Diniagakan Mendatar, Data Makro Jadi Tumpuan

Oleh Siti Noor Afera Abu and Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka diniagakan mendatar minggu depan, dengan momentum indeks yang meningkat bergantung pada data makroekonomi utama dari China dan Amerika Syarikat (AS).

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pelabur akan memantau data dari China, terutamanya angka perdagangan pada Jun dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua.

“Walaupun konsensus menjangka pertumbuhan KDNK kekal pada 5.0 peratus, kelemahan berterusan dalam sektor hartanah boleh mewujudkan semula spekulasi mengenai rangsangan ekonomi.

“Di AS, jualan runcit pada Jun akan menjadi petunjuk utama terhadap kekuatan perbelanjaan pengguna dan potensi implikasi terhadap hala tuju dasar Rizab Persekutuan AS,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangka terdapat aktiviti pengambilan untung pada minggu depan.

“Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI berada dalam julat 1,530 hingga 1,560. Sektor yang dijangka terus mendapat perhatian termasuklah perbankan, telekomunikasi, hartanah, pembinaan dan pengguna,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, indeks petunjuk pasaran merosot 14.12 mata kepada 1,536.07 daripada 1,550.19 pada minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas berkurangan 74.14 mata kepada 11,543.58, Indeks FBMT 100 jatuh 81.96 mata kepada 11,308.74 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 65.35 mata kepada 11,552.47.

Indeks FBM 70 merosot 25.69 mata kepada 16,761.35 manakala Indeks FBM ACE meningkat 11.77 mata kepada 4,538.17.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 183.09 mata kepada 17,608.13, Indeks Perladangan menambah 1.71 mata kepada 7,459.45 dan Indeks Tenaga merosot 3.99 mata kepada 737.62.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 16.21 bilion unit bernilai RM11.43 bilion daripada 17.25 bilion unit bernilai RM12.62 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 6.99 bilion unit bernilai RM10.02 bilion daripada 9.22 bilion unit bernilai RM11.41 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 7.82 bilion unit bernilai RM911.38 juta daripada 6.62 bilion unit bernilai RM772.30 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 1.41 bilion unit bernilai RM490.78 juta daripada 1.40 bilion unit bernilai RM437.52 juta sebelum ini.

-- BERNAMA