Ringgit Melemah Berbanding Dolar AS Berikutan Sentimen Waspada Dalam Pasaran
KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Ringgit ditutup lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, menjejaki prestasi mata wang serantau apabila sentimen pasaran sangat berwaspada dalam situasi pasaran pertukaran asing yang sedang mengharungi ketidaktentuan ekonomi.
Pada 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.2505/2560 berbanding dolar AS daripada 4.2475/2525 ketika ditutup pada Jumaat lalu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit pada awalnya mengukuh berbanding dolar AS pada sesi pagi kepada RM4.2455, namun kemudiannya stabil sekitar RM4.25 pada sebelah petang.
“Mata wang di negara-negara Asia juga secara umumnya lemah berbanding dolar AS. Isu tarif AS terus menjadi tumpuan apabila pentadbiran Donald Trump mengekalkan pendirian agresifnya terhadap Kesatuan Eropah (EU) dan Mexico dengan mengenakan tarif sebanyak 30 peratus,” katanya.
“Pada masa yang sama, kekecewaan Trump terhadap Rusia berhubung perang di Ukraine menunjukkan bahawa konflik tersebut mungkin berlarutan. Trump telah menyatakan pentadbirannya akan menghantar peluru berpandu Patriot ke Ukraine bagi membantu negara itu mempertahankan diri daripada serangan peluru berpandu Rusia,” katanya.
Minyak mentah Brent kini diniagakan melebihi US$70 setong.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7305/7379 daripada 5.7524/7592, meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8858/8897 daripada 2.8893/8929 tetapi diniagakan sedikit rendah berbanding euro kepada 4.9693/9757 daripada 4.9679/9737.
Mata wang tempatan itu turut menunjukkan aliran meningkat berbanding kebanyakan mata wang di negara-negara ASEAN.
Ringgit diniagakan lebih tinggi sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.3184/3229 daripada 3.3186/3228, ,menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 261.5/262.0 daripada 261.8/262.3 sebelum ini, dan bertambah berbanding peso Filipina kepada 7.50/7.51 daripada 7.52/7.53.
Bagaimanapun, ia merosot berbanding baht Thailand kepada 13.1213/1439 daripada 13.0668/0886 pada Jumaat.
-- BERNAMA