BERITA TERKINI   PM Anwar zahir simpati kepada lebih 50 mangsa terlibat dalam kejadian titi gantung runtuh di Lata Rek, Kuala Krai - PMO | PM Anwar arah peruntukan disediakan bagi ganti titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan yang runtuh semalam - PMO | Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dilantik Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian berkuat kuasa 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2028 - Azalina | Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuh bagi memandu hala tuju keselamatan dalam talian negara - Azalina | Pelabuhan Tanjung Pelepas catat peningkatan 14 peratus pengendalian kontena kepada 14.03 juta TEUs pada 2025, menjadi terminal kontena pertama di Malaysia lepasi paras 14 juta TEUs | 

Prestasi Perdagangan Malaysia Di Landasan Capai Sasaran Pertumbuhan - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Prestasi perdagangan Malaysia bagi tahun ini masih kekal dalam unjuran dan berada di landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan empat hingga lima peratus, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Bagaimanapun, beliau berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjangka perdagangan global menyederhana pada separuh kedua 2025 di tengah-tengah keadaan tidak menentu ketika ini.

“Ya, (walaupun) ada aktiviti awal perniagaan, terutamanya dalam tempoh lima bulan lalu, tetapi pada masa yang sama, memandangkan tarikh akhir 1 Ogos (bagi tarif AS), kami menjangkakan prestasi sederhana akan berterusan.

"Kami akan mengumumkan angka dagangan terkini bagi Jun pada Jumaat ini dan apa yang penting adalah prestasi perdagangan Malaysia masih berada dalam unjuran," katanya pada sidang media sempena pengumuman kad laporan MITI bagi suku kedua 2025.

Tengku Zafrul berkata Bank Negara Malaysia mengunjurkan pertumbuhan perdagangan sekitar lima peratus pada tahun ini, manakala Kementerian Kewangan mengunjurkan kira-kira 3.9 peratus.

"Kami akan terus memberi tumpuan untuk mencapai sasaran (itu)," katanya.

Terdahulu semasa pembentangan kad laporan MITI, Tengku Zafrul berkata negara menjana potensi pelaburan berjumlah RM25.6 bilion dan potensi eksport bernilai RM30.8 bilion daripada misi perdagangan dan pelaburan yang dianjurkan setakat ini.

Malaysia juga baru-baru ini memeterai perjanjian perdagangan bebas baharu dengan Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) pada Jun dengan perdagangan dalam pasaran EFTA dijangka mencecah  RM14.4 bilion.

Sementara itu, mengenai rundingan tarif dengan Amerika Syarikat, Tengku Zafrul berkata kementeriannya kini sedang meneliti perkara berkaitan tarif dan bukan tarif yang boleh dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

"Saya telah menetapkan tarikh akhir bagi pasukan perundingan, dan ada isu yang kami masih perlukan masa kerana ia melibatkan banyak agensi dan kementerian. Kami sedang berusaha memuktamadkannya sebelum tarikh akhir tarif pada 1 Ogos.

"Kami juga sedang membuat pertimbangan mengenai kesannya terhadap eksport kita dan juga hasil kerajaan. Kami akan mengadakan satu lagi perbincangan pada minggu ini dan mempercepatkan perbincangan sehingga akhir bulan ini," katanya.

Tengku Zafrul berkata beberapa kebimbangan mengenai isu bukan tarif telah ditangani oleh MITI melalui pelaksanaan Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010), manakala isu lain yang berkaitan dengan kepentingan ekuiti dalam sektor tertentu, perlu dikaji dengan teliti.

“Seperti yang anda tahu, Malaysia mempunyai sekatan ekuiti bagi pemegang saham asing untuk sektor tertentu, jadi terdapat permintaan untuk kita mengkaji semula atau meliberalisasikan sektor tersebut. Banyak negara juga telah diminta melakukan perkara yang sama.

"Kita perlu berunding dengan industri sama ada kita bersedia untuk meliberalisasikan sekatan pegangan saham ekuiti itu, terutamanya apabila membabitkan sekatan ekuiti asing yang ditetapkan dalam banyak sektor kita. Jadi kita perlu mengkaji dengan teliti apakah kesannya," katanya.

-- BERNAMA