Unifi Business Perkenal "Ultra Plan" Perkukuh Perniagaan Tempatan
Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Unifi Business mengukuhkan sokongannya terhadap perniagaan tempatan dengan pelancaran pakej internet berkelajuan tinggi - Unifi Business Ultra Plan, bagi memenuhi permintaan penyelesaian jalur lebar generasi baharu yang lebih pantas dan dipercayai.
Direka khusus untuk meningkatkan pengalaman dan memperkasa perusahaan kecil dan sederhan (PKS), pakej baharu ini menawarkan internet ultra pantas, perkhidmatan tambah nilai dan penyelesaian Wi-Fi percuma kepada ruang pejabat yang kecil, premis makanan dan minuman serta lokasi komersial lain.
Pelan ini bukan sekadar membekalkan capaian internet pantas, malah membolehkan lebih 10 pengguna menggunakan sambungan serentak, sekali gus menyokong kelancaran operasi perniagaan dalam talian.
“Unifi Business bukan sekadar penyedia internet untuk perniagaan tempatan, malah ia adalah rakan digital pilihan bagi PKS dengan pelbagai penyelesaian untuk menyokong produktiviti, jualan dan pemasaran, keselamatan siber serta penyelesaian hospitaliti dan hiburan TV untuk pelanggan kami.
“Kami komited membantu perniagaan mempertingkatkan perjalanan digitalisasi mereka dan meringankan beban operasi supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada pengembangan perniagaan,” kata jurucakap Unifi Business kepada Bernama.
Tingkatkan pengalaman pelanggan
Pelan jalur lebar Unifi Business Ultra menawarkan kelajuan sehingga satu gigabit sesaat (Gbps) atau 2Gbps, dengan pelbagai manfaat menarik yang menyumbang kepada kecekapan operasi dan pengalaman pelanggan.
Antara tarikan utama adalah pemberian televisyen pintar (smart TV) premium secara percuma kepada pelanggan baharu.
Pelanggan yang melanggan pelan 1Gbps pada kadar RM319 sebulan akan menerima TV pintar Sharp bersaiz 65 inci (atau yang setara) bernilai RM4,699, manakala pelan 2Gbps berharga RM369 sebulan pula didatangkan dengan TV pintar Sharp bersaiz 75 inci (atau yang setara) bernilai RM7,399.
Dengan hanya RM2.30 sehari, pelanggan juga boleh melanggan Biz Fun Pack yang menawarkan akses kepada 20 saluran hiburan tempatan dan antarabangsa bagi meningkatkan daya tarikan premis mereka.
“Inisiatif ini sangat sesuai untuk kafe, bar, lounge, warung, restoran mamak, pejabat dan juga ruang eksklusif seperti bilik perbankan premier. Apabila pelanggan terhibur, mereka cenderung untuk tinggal lebih lama dan berbelanja lebih banyak,” kata beliau.
Selain itu, pelan ini turut menyokong penggunaan pelbagai peranti secara serentak tanpa gangguan, memastikan sambungan internet yang lancar di semua titik sentuh.
Kelebihan utama Unifi Business Ultra Plan
Kempen Ultra-Fast Internet yang diperkenalkan Unifi Business disandarkan pada lima manfaat utama, menegaskan komitmennya untuk membantu PKS terus berkembang dalam era digital.
Ia merangkumi internet ultra efisien dengan kelajuan tinggi untuk operasi tanpa gangguan dan peningkatan produktiviti; pasukan Ultra Crew dengan jaminan pemulihan perkhidmatan dalam tempoh 24 jam bagi memberikan ketenangan minda; serta pelan langganan ultra mudah dengan pilihan ansuran tanpa faedah dan tanpa keperluan kad kredit.
Selain itu, pelanggan turut menikmati kemudahan ultra dengan penghantaran percuma peralatan jalur lebar dan unit televisyen ke seluruh negara, serta akses kandungan ultra merangkumi 20 saluran premium tempatan dan antarabangsa.
Kesemua manfaat ini mencerminkan komitmen berterusan Unifi Business dalam menyediakan penyelesaian bertaraf tinggi kepada perniagaan moden.
Untuk maklumat lanjut, layari biz.unifi.com.my/ultra. Promosi sah sehingga 31 Ogos 2025, tertakluk kepada terma dan syarat serta selagi stok masih ada.
-- BERNAMA