Kecelaruan Dasar, Tarif Dan Geopolitik Berisiko Rencat Pertumbuhan Ekonomi Global
KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Dasar perdagangan tidak menentu, pasaran kewangan yang rapuh dan konflik geopolitik yang berlarutan berisiko merencatkan pertumbuhan ekonomi global, demikian menurut Moody's Analytics.
Menerusi komentar terbaharunya bertajuk "Tinjauan Global: Risiko yang Berlarutan", firma penyelidikan itu berkata dasar Amerika Syarikat (AS) yang tidak menentu telah menjejaskan prospek pertumbuhan dan inflasi global dengan ketidaktentuan yang berpanjangan menjejaskan pelaburan perniagaan dan pengambilan pekerja.
"Ancaman utama yang dihadapi ekonomi dunia ialah ketidaktentuan yang berpunca daripada peralihan dasar perdagangan AS," kata Moody's Analytics.
Sejak mengambil alih pentadbiran pada Januari lepas, Presiden AS Donald Trump telah mengumumkan dan membatalkan beberapa pusingan tarif, termasuk duti baharu ke atas 14 ekonomi yang diumumkan pada 7 Julai, yang kemudiannya diperluaskan ke negara seperti Algeria, Brunei, Iraq, Libya, Moldova, Filipina dan Sri Lanka.
Moody's Analytics berkata dasar yang tidak konsisten ini telah mewujudkan persekitaran yang tidak menentu, terutamanya bagi pengeluar global.
“Hab perkilangan tradisional di Asia dan Eropah yang telahpun bergelut dengan kos input tinggi, permintaan lemah domestik dan persaingan yang semakin meningkat dari China, dijangka paling terjejas, kerana langkah agresif Beijing dalam pembuatan canggih mencabar eksport bernilai tinggi dari Jerman, Jepun dan Korea Selatan.
"Hanya Taiwan yang nampaknya berjaya mengelak daripada terkena impak ketara, disokong oleh permintaan yang melambung tinggi terhadap semikonduktor canggihnya di tengah-tengah ledakan kecerdasan buatan (AI)," katanya.
Moody's Analytics berkata ketidaktentuan akibat tarif yang membawa risiko kepada pertumbuhan dan dan inflasi telah menyebabkan bank pusat berada dalam kedudukan yang sukar.
Di AS, tarif yang lebih tinggi dijangka meningkatkan kos import dan inflasi harga pengguna dan pengeluar bahan api walaupun pertumbuhan yang perlahan, mendorong Rizab Persekutuan menurunkan kadar mata peratusan pada separuh kedua 2025 berikutan penyusutan ekonomi.
Laporan itu juga mengetengahkan pelbagai konflik geopolitik, termasuk perang di Ukraine, ketidakstabilan di Timur Tengah, dan gangguan perkapalan di Selat Hormuz, yang boleh menjejaskan bekalan tenaga dan menambahkan lagi tekanan inflasi.
Moody's Analytics berkata bagi ekonomi China, eksportnya berkembang pesat namun pertumbuhan domestik masih lemah.
Keyakinan dan perbelanjaan isi rumah negara itu masih kekal lemah, pengangguran belia sangat tinggi, sektor hartanah sedang bergelut, dan pelaburan sektor swasta lemah, menyebabkan permintaan domestik yang perlahan dan ekonomi berdepan deflasi kerana harga pengguna telah berubah sedikit sejak pertengahan 2022.
Moody’s mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) global akan perlahan kepada hanya 2 peratus pada 2025 dan 2026, berbanding hampir 3 peratus pada 2024.
“Pertumbuhan KDNK AS diunjurkan berada di bawah purata 1.5 peratus pada 2025 dan 2026, turun daripada hampir 2.8 peratus pada 2024, manakala Asia dan Eropah juga dijangka menghadapi masalah apabila permintaan dalam negeri yang lemah dan eksport yang lembap telah memperlahankan momentum.
“KDNK China dijangka berkembang hanya pada 4 peratus pada 2025, kerana perang perdagangan dan permintaan pengguna domestik yang lemah menjadikan sasaran pertumbuhan 5 peratusnya tidak realistik, manakala ekonomi India diunjur mencatatkan berprestasi lebih kukuh dengan pertumbuhan KDNK sekitar 6 peratus pada 2025 dan 2026,” kata Moody’s Analytics.
-- BERNAMA