MATRADE Raih Prospek Perdagangan Lebih RM120 Juta Di Pameran Import Korea 2025
KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mencatatkan prospek perdagangan melebihi RM120 juta melalui penyertaan pertama Malaysia pada Pameran Import Korea (KIF) 2025 pada 7 hingga 9 Julai 2025.
Dalam kenyataan hari ini, katanya angka berkenaan melebihi dua kali ganda daripada sasaran awal sebanyak RM60 juta.
Pavilion Malaysia mempamerkan 12 syarikat dan satu agensi kerajaan, yang menjadi pavilion negara terbesar dalam pameran berkenaan.
MATRADE turut melaksanakan pelbagai inisiatif promosi yang disasarkan bagi memperluas kehadiran Malaysia termasuk sesi padanan perniagaan dengan pengimport Korea Selatan, pemasaran digital dan kempen media sosial, penstriman langsung serta libat urus media strategik.
"Impak daripada inisiatif ini telah diperlihatkan melalui prestasi kukuh yang direkodkan. Produk Malaysia yang meraih minat yang tinggi daripada pembeli Korea Selatan adalah barang kemas seperti rantai dan gelang, kasut, perkhidmatan ICT, pakaian, buah-buahan tropika serta makanan dan minuman," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata penyertaan ini adalah sebahagian daripada strategi lebih luas MATRADE untuk membuka lebih banyak peluang dan hasil eksport.
Katanya selain itu ia menekankan kepentingan perkongsian strategik, usaha promosi berfokus serta padanan perniagaan yang disesuaikan bagi mewujudkan peluang baharu kepada pengeksport Malaysia.
“Penyertaan MATRADE dalam KIF 2025 adalah selari dengan visi jangka panjang Malaysia untuk memperkukuh kesalinghubungan serantau dan meluaskan akses pasaran di Asia Timur Laut,” kata beliau.
-- BERNAMA