BERITA TERKINI   Pada 6 petang, ringgit hampir mendatar berbanding dolar AS kepada 4.0275/0320 daripada 4.0245/0320 semasa ditutup pada Isnin | Majlis Tindakan Ekonomi Negara teliti pelbagaikan sumber bahan api, perkukuh kerjasama dagang dan jamin input pengeluaran - Akmal Nasrullah | Krisis Tenaga Global: Special Access Pathway dilaksanakan, pastikan akses keperluan kesihatan kritikal - Akmal Nasrullah | Krisis Tenaga Global turut menjejaskan bekalan ubat dan peranti perubatan - Akmal Nasrullah | FELDA dan FGV Holdings perkenal B100, biodiesel berasaskan 100 peratus minyak sawit yang berpotensi jadi sumber tenaga alternatif - Pengerusi FELDA | 

DXN Meterai MoU Dengan Invest Kedah Lonjak Kerjasama Strategik

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- DXN Holdings Bhd (DXN) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Invest Kedah Bhd untuk mewujudkan kerjasama strategik, dengan matlamat merangsang pembangunan mampan dan meneroka peluang pelaburan merentas sektor ekonomi utama di Kedah.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, syarikat itu menjelaskan mengikut MoU itu, kedua-dua pihak akan meneroka inisiatif pembangunan pertanian termasuk penanaman kopi dan cendawan, peluang pelaburan dalam ekopelancongan dan akuakultur di Langkawi, serta memajukan pembangunan sosioekonomi dan bakat Kedah, antara lain.

“MoU ini bertempoh lima tahun daripada tarikh pemeteraian,” menurut DXN.

Invest Kedah ialah syarikat berkaitan kerajaan negeri yang berperanan sebagai agensi utama penggalakan pelaburan di bawah kerajaan negeri Kedah.

DXN turut memaklumkan MoU itu adalah tidak terikat dan tidak akan memberi impak kewangan melainkan dan sehingga perjanjian muktamad yang berkaitan dimeterai oleh kedua-dua pihak.

-- BERNAMA