BERITA TERKINI   PM Anwar lulus peruntukan segera RM1 juta untuk kerja baik pulih kritikal di kuarters PDRM Johor | Geran tahunan Kawasan Rukun Tetangga seluruh negara dinaikkan kepada RM10,000 daripada RM6,000 - PM Anwar | Peruntukan segera RM3.205 juta bagi pelaksanaan 16 projek baik pulih infrastruktur asas institusi pendidikan Islam di Johor. - PM Anwar | Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.1355/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1380/1430 ketika ditutup pada Selasa | PRN Johor: Bekas MB Johor Datuk Seri Hasni Mohammad tidak pertahan kerusi DUN Benut | 

MBSB IB Kekal Optimis Terhadap Sektor Hartanah Dengan Pemangkin Di Johor

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) kekal optimis terhadap sektor hartanah berdasarkan minat belian yang baik pada separuh kedua 2025 dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan Rapid Transit System Johor Bahru-Singapura terus menjadi pemangkin kepada sektor tersebut.

Menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini, penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini akan meningkatkan sentimen belian hartanah.

“Oleh itu, kami mengekalkan pendirian positif terhadap sektor ini dengan Mah Sing Group Bhd, UOA Development Bhd dan Matrix Concepts Holdings Bhd sebagai pilihan utama kami.

“Kami memilih Mah Sing berikutan strateginya menjual hartanah kediaman mampu milik akan menyokong pertumbuhan jualan baharunya manakala penurunan OPR baru-baru ini akan meningkatkan kemampuan pembeli terutamanya pembeli rumah kali pertama,” katanya.

Menurut MBSB IB, pihaknya turut memilih UOA Development berdasarkan hasil dividennya yang menarik sebanyak 5.6 peratus berbanding hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) sebanyak 3.4 peratus dan purata hasil amanah pelaburan hartanah (REIT) sebanyak 4.4 peratus.

“Selain itu, langkah pertama UOA baru-baru ini untuk menceburi pasaran hartanah Johor dijangka menyokong pertumbuhan jualan baharu pada masa depan.

“Sementara itu, kami menyaksikan pemangkin kukuh daripada MVV City kepada Matrix Concepts, yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pendapatan selain sumbangan yang stabil daripada Bandar Sri Sendayan.

“Selain itu, hasil dividen Matrix Concepts juga menarik dengan anggaran sebanyak enam peratus,” katanya.

-- BERNAMA