IHW 2025 Cerminkan Komitmen Malaysia Memacu Inovasi Dalam Industri Penjagaan Kesihatan - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2025 mencerminkan komitmen Malaysia untuk memacu inovasi, meningkatkan pertumbuhan dan menjalin kerjasama global yang akan menentukan lembaran seterusnya dalam industri penjagaan kesihatan negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata IHW 2025 merupakan platform strategik yang menghimpunkan pemimpin pemikiran global, inovator, penggubal dasar dan pelabur untuk mencorak masa depan sektor penjagaan kesihatan di rantau ini.

Beliau berkata pasaran peranti perubatan global dijangka meningkat sebanyak 63 peratus daripada RM2.53 trilion pada 2024 kepada RM4.13 trilion menjelang 2032.

“Sektor penjagaan kesihatan global terbukti bukan sahaja berdaya tahan, malah bersifat transformatif, menawarkan peluang yang banyak dalam bidang peranti perubatan, farmaseutikal, bioteknologi dan penyelesaian kesihatan digital.

“Ini berdasarkan agenda pembaharuan industri yang kukuh, ekosistem industri yang mantap, dasar yang progresif, persekitaran mesra pelabur serta tenaga kerja mahir dan sedia untuk industri, industri penjagaan kesihatan Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk meraih pertumbuhan ini,” katanya dalam ucaptama pada IHW 2025 di sini hari ini. 

Daripada farmaseutikal dan peranti perubatan hingga perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pelancongan perubatan, Tengku Zafrul berkata sektor ini merupakan pemangkin kepada pewujudan pekerjaan bernilai tinggi, inovasi dan eksport.

Beliau berkata pada 2024 sahaja, industri peranti perubatan dan farmaseutikal telah meraih pelaburan berjumlah RM2.13 bilion secara keseluruhan, mewujudkan lebih 2,700 pekerjaan bernilai tinggi dalam sektor pembuatan, penyelidikan dan pembangunan serta perkhidmatan kawal selia.

“Kini, lapan daripada 30 syarikat peranti perubatan terkemuka dunia telah mewujudkan operasi di Malaysia. Eksport farmaseutikal negara bagi tempoh Januari hingga Mei 2025 juga meningkat sebanyak 7.8 peratus.

“Ini juga disebabkan inisiatif pembaharuan industri kita. Pembaharuan membina daya tahan industri, yang seterusnya menyumbang kepada daya tahan eksport kita,” katanya.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Malaysia telah berkembang daripada menghasilkan bekalan perubatan asas kepada teknologi penjagaan kesihatan moden seperti stent termaju, perentak jantung berketepatan tinggi, implan ortopedik dan peralatan diagnostik terkini, yang digunakan oleh pesakit di seluruh dunia.

“Ini amat menggalakkan apabila menyaksikan pada 2024, Malaysia diiktiraf sebagai antara destinasi utama kepada pelancong penjagaan kesihatan.

“Ia menunjukkan bahawa kita berada pada landasan yang betul dalam menyediakan penjagaan yang berkualiti dan mampu milik. Apa yang paling kami hargai ialah mengetahui bahawa pesakit antarabangsa berasa yakin dan selamat dalam sistem penjagaan kesihatan kita,” katanya.

Pada 2024, katanya perdagangan peranti perubatan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang luar biasa sebanyak 27.7 peratus, mencapai nilai perdagangan yang cemerlang sebanyak RM46.5 bilion dengan prestasi eksport yang baik, meningkat sebanyak 31.6 peratus daripada tahun sebelumnya, mencecah nilai RM37 bilion. 

“Destinasi eksport utama kita pada tahun lepas ialah Amerika Syarikat, berjumlah lebih RM13 bilion (37 peratus), diikuti Belgium, RM3.8 bilion (10 peratus) dan Jerman, RM3.14 bilion (8.5 peratus) manakala eksport ke ASEAN adalah sebanyak RM3.48 bilion.

“Bagi memberi gambaran mengenai sejauh mana kita telah berkembang, kita lihat kembali 10 tahun yang lepas. Pada 2014, perdagangan peranti perubatan kita sebanyak RM13.49 bilion dan hari ini, ia meningkat tiga kali ganda kepada RM46.5 bilion pada 2024,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Informa Markets Asia Margaret Ma Connolly berkata Malaysia diiktiraf sebagai hab penjagaan kesihatan utama di Asia Tenggara, dengan pasaran penjagaan kesihatan yang kukuh, industri pelancongan perubatan yang berkembang pesat serta infrastruktur penjagaan kesihatan yang ditambah baik secara berterusan.

“Hari ini merupakan detik bersejarah apabila kita menjadi tuan rumah kepada acara penting ini buat kali pertama di Malaysia. Acara yang menghimpunkan para profesional industri penjagaan kesihatan ini menawarkan peluang untuk pertukaran pengetahuan, membina rangkaian dan menjalin kerjasama yang akan memacu inovasi di seluruh rantau ini.

“Sepanjang tiga hari ini dan seterusnya, kita bersama-sama memulakan perjalanan untuk membentuk masa depan penjagaan kesihatan, memanfaatkan kerjasama dan teknologi maju untuk meningkatkan kesihatan jutaan orang,” katanya.

IHW 2025 selama empat hari, bermula hari ini, menampilkan lebih 900 pempamer tempatan, serantau dan antarabangsa yang mempamerkan lebih 15,000 produk dan perkhidmatan, menawarkan pandangan menyeluruh mengenai teknologi dan penyelesaian penjagaan kesihatan terkini.

Acara itu dijangka menerima kira-kira 21,000 profesional dari lebih 50 negara, menawarkan peluang untuk membina rangkaian, pertukaran pengetahuan dan kerjasama perniagaan.

Selain pameran, lebih 125 persidangan yang ditumpukan kepada sesuatu topik akan membincangkan keperluan dan perkembangan industri tertentu, menawarkan pengalaman pembelajaran yang disasarkan.

-- BERNAMA