BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Juwai IQI Unjur Pelaburan China Berjumlah Kira-Kira RM30 Bilion Pada 2025

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Juwai IQI mengunjurkan Malaysia akan menerima aliran masuk pelaburan China berjumlah sekurang-kurangnya RM30 bilion tahun ini yang menumpu terutamanya kepada sektor komponen bateri dan solar.

Pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata pada 2024 Malaysia menerima kemasukan modal berjumlah RM31 bilion dari China, yang merupakan jumlah (modal) kedua terbesar dari negara itu setakat ini.  

“Jumlah pelaburan pada 2024 adalah lebih dua kali ganda berbanding 2023 dan paling banyak sejak 2015. Kami menjangkakan (kemasukan) sekurang-kurangnya RM30 bilion pelaburan dari China tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata ekonomi Malaysia sedang mengalami gelombang aliran masuk asing, dan China serta Hong Kong terus menjadi penyumbang terbesar.

"Malaysia membuktikan sekali lagi bahawa ia adalah ekonomi utama Asia. Kita mendapat manfaat besar menjadi sebahagian daripada ASEAN dan mempunyai ekonomi besar seperti China di rantau kita," katanya.

Kashif berkata Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura juga mencapai kejayaan besar dengan Johor menjadi destinasi untuk projek perindustrian dan logistik berskala besar.

"SEZ adalah kawasan yang menarik minat pelanggan korporat kita di China, terutamanya pengeluar," katanya.

Dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia yang menyasarkan pembuatan bernilai tinggi dan pertumbuhan hijau, minat pelabur dijangka berterusan pada 2025, terutamanya dalam tenaga boleh baharu dan elektronik canggih.

"Kerajaan menawarkan pelepasan cukai menarik, pelesenan pantas dan pelan tindakan sektor. Itulah sebabnya kami menjangkakan satu lagi tahun pelaburan besar dari China berjumlah sekurang-kurangnya RM30 bilion," katanya. 

-- BERNAMA