BERITA TERKINI   CBH Engineering raih kontrak mereka dan membina sistem bekalan elektrik untuk pencawang pengguna cadangan pusat data di Selangor, bernilai RM171.99 juta | Sistem Alamat Nasional mampu jana limpahan ekonomi RM2 billion, wujud lebih 2,000 pekerjaan dalam lima tahun - Fahmi Fadzil | Bangkai helikopter milik PDRM yang yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah Khamis lepas, berjaya dinaikkan sekitar jam 11 pagi ini. | iCents mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 sen, premium lima sen daripada harga IPO 24 sen, dengan 13.59 juta saham bertukar tangan | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Berikutan Pengukuhan Dolar US

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih rendah di tengah-tengah pengukuhan dolar US termasuk perbincangan yang berterusan mengenai kadar faedah di Amerika Syarikat (AS).

Rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata emas diniagakan lebih rendah hari ini, menerima kesan daripada dolar US yang lebih kukuh dan jangkaan pasaran bahawa Rizab Persekutuan (FED) akan mengekalkan kadar faedah yang lebih tinggi untuk tempoh yang panjang.

"Kenaikan emas tidak cukup mantap tetapi ia masih bertahan dalam pasaran, yang mana kepercayaan adalah mangsa sebenar. Ini bukan mengenai pemotongan kadar AS tetapi mengenai hakisan kredibiliti. Dalam persekitaran seperti ini, emas tidak perlu menonjol. Ia hanya menunggu peluang," katanya kepada Bernama. 

Pada penutup, kontrak Julai 2025 jatuh kepada US$3,349.50 setiap auns troy daripada US$3,371.60 setiap auns troy yang disaksikan semalam.

Kontrak Ogos 2025 susut kepada US$3,367.70 setiap auns troy daripada US$3,389.80 setiap auns dan September 2025 merosot kepada US$3,373.60 setiap auns troy daripada US$3,395.70 setiap auns troy sebelum ini.

Kontrak Oktober 2025, Disember 2025 dan Februari 2026, semuanya adalah lebih rendah kepada US$ 3,401.80 berbanding US$3,423.80 setiap auns troy.

Jumlah dagangan melonjak kepada 97 lot daripada 68 lot, manakala kepentingan terbuka jatuh kepada 25 kontrak berbanding 99 kontrak sebelumnya.

Berdasarkan penetapan tengah hari pada 15 Julai London Bullion Market Association, emas fizikal berada pada US$3,345.10 setiap auns troy.

-- BERNAMA