BERITA TERKINI   Hakim Mahkamah Persekutuan Abu Bakar Jais dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, majlis angkat sumpah 28 Julai iniĀ - Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan | Hakim Mahkamah Rayuan Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik Ketua Hakim Negara yang baharu, majlis angkat sumpah 28 Julai ini - Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah PersekutuanĀ  | 

Greenyield Jual Tanah Industri Di Selangor Pada RM8 Juta

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Greenyield Bhd menjual sebidang tanah perindustrian pegangan pajak yang masih belum dibangunkan di Banting, Selangor kepada pengeluar penapis kartrij, Filtermation (MFG) Sdn Bhd dengan nilai RM8 juta.

Menurut syarikat agroteknologi itu, penjualan tanah seluas 10,660 meter persegi itu yang dimiliki oleh anak syarikat milik penuh, Greenyield Industries (M) Sdn Bhd (GISB) adalah sebahagian daripada strategi kumpulan untuk mengoptimumkan gabungan asetnya serta mengewangkan dan merealisasikan nilai simpanan tanahnya.

“Hasil daripada penjualan tersebut akan digunakan oleh kumpulan sebagai rizab dan menambah baik tahap kadar hutang serta nisbah semasa berikutan rizab yang meningkat,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Greenyield berhasrat untuk menggunakan sebahagian besar hasilnya (RM7.56 juta) untuk modal kerja dan rizab tunai manakala selebihnya diperuntukkan untuk anggaran cukai keuntungan hartanah (RM389,000) dan perbelanjaan berkaitan cadangan penjualan tersebut (RM51,000).

“Cadangan penjualan itu tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham syarikat. Bagaimanapun, pemindahan hartanah daripada GISB kepada pembeli mungkin tertakluk kepada kelulusan atau persetujuan pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa berkaitan lain, jika perlu.

“Tanpa mengambil kira keadaan di luar jangka dan tertakluk kepada semua kelulusan berkaitan yang diperoleh, cadangan penjualan itu dijangka selesai pada tahun ini,” katanya.

-- BERNAMA