iCents Group Sasar Pertumbuhan Pendapatan 10 Peratus Pada 2026

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- iCents Group Holdings Bhd menyasarkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 10 peratus pada 2026, didorong oleh jangkaan sumbangan yang meningkat daripada operasi pembuatannya.

Pengarah Urusannya, Ong Mum Fei berkata pengilangan kelengkapan bilik bersih dan produk berkaitan kumpulan menyumbang 10 hingga 15 peratus daripada keseluruhan pendapatan dengan sumbangan dijangka meningkat berikutan syarikat meningkatkan pengeluaran dan memperluas kemudahannya. 

“Kami juga giat mendapatkan projek dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Pada tahun ini, kami menjangka memperoleh lebih banyak projek pusat data walaupun kebanyakan pendapatan yang diiktiraf akan diperoleh pada 2027,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat itu di sini hari ini.

iCents mula disenaraikan di Pasaran ACE dengan harga saham dibuka pada 29 sen, premium lima sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 24 sen, dengan 13.59 juta saham diniagakan.

Aktiviti utama kumpulan ialah menyediakan perkhidmatan bilik bersih, termasuk kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pengujian serta pengoperasian bilik bersih yang memenuhi keperluan sektor pembuatan semikonduktor dan elektronik, pusat data, farmaseutikal dan sains hayat.

Ong berkata kemudahan baharu syarikat di Mantin, Negeri Sembilan, dijangka memulakan operasi pada suku pertama tahun depan manakala pelan untuk meneroka pasaran tempatan dan antarabangsa seperti Kuching, Sarawak dan Jakarta, Indonesia, dijangka direalisasikan dalam tempoh setahun.

Beliau berkata penyedia perkhidmatan bilik bersih dan kemudahan itu pada masa ini tidak mempunyai dasar dividen tetapi merancang untuk memperkenalkannya.

“Kami merancang untuk memperuntukkan bayaran antara 20 dan 25 peratus daripada keuntungan tahunan selain mengimbangi keperluan untuk mengekalkan dana bagi perbelanjaan modal,” katanya.

Mengenai impak daripada kawalan eksport yang lebih ketat, Ong berkata kumpulan tidak menjangkakan sebarang impak segera terhadap perniagaannya berikutan sebahagian besar pendapatannya adalah daripada sumber berulang.

Berhubung risiko turun naik mata wang, katanya kumpulan masih menjalankan perniagaan di Indonesia menggunakan ringgit dan iCents tidak mempunyai urus niaga di Vietnam atau Australia walaupun beberapa produk yang dihantar ke Vietnam dalam mata wang dolar AS.

Pada 5 petang, iCents ditutup pada 34 sen, menjadikan premium sebanyak 10 sen, dengan 150.54 juta saham diniagakan.

-- BERNAMA