BERITA TERKINI   Kerajaan lancar Pelan Induk Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang 2026-2035 sebagai panduan pacu pembangunan komuniti Bumiputera Pulau Pinang - PM Anwar | Tengku Permaisuri Selangor dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Islam Selangor yang pertama | 

Kontrak Pusat Data RM10 Bilion Dijangka Diraih Walaupun AS Mungkin Hadkan Eksport Cip AI

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menganggarkan nilai kontrak pusat data berjumlah RM10 bilion akan diterima tidak lama lagi walaupun Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan mengehadkan penghantaran cip kecerdasan buatan (AI) ke Malaysia.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Maybank IB berkata tender berkenaan melibatkan empat projek pusat data dengan kapasiti gabungan kira-kira 500 megawatt (MW) -- dua projek oleh Eco World Development Group Bhd (ECW) dan dua lagi oleh Sime Darby Property Bhd (SDPR) -- yang akan disewakan kepada Pearl Computing, syarikat yang disokong oleh syarikat gergasi enjin carian AS.

“Dengan menggunakan penanda aras RM20 juta/MW, kami menganggarkan projek bernilai kira-kira RM10 bilion akan diraih, yang terdiri daripada RM5 bilion untuk kerja-kerja bahagian asas dan struktur utama serta RM5 bilion bagi kerja-kerja mekanikal, elektrik dan kerja paip (MEP).

“Kami difahamkan ECW dan SDPR akan memberikan kontrak kerja-kerja bahagian asas dan struktur manakala Pearl Computing akan menawarkan kerja-kerja MEP,” katanya.

Dengan menjangkakan margin sebelum cukai sebanyak 10 peratus, Maybank IB menganggarkan  menjana kira-kira RM1 bilion keuntungan sebelum cukai.

Keputusan mengenai tender berkenaan dijangka diumumkan dalam tempoh dua bulan akan datang, katanya.

Menurut bank pelaburan itu, Gamuda Bhd (GAM), IJM Corporation Bhd dan Sunway Construction Group Bhd (SCGB) adalah pesaing kuat memandangkan sistem pembinaan berindustri (IBS) syarikat berkenaan membolehkan mereka membina pusat data dengan pantas menggunakan panel pratuang.

“Walaupun GAM meraih projek pertama untuk membina pusat data pertama berkaitan Pearl Computing di Malaysia, membantu Pearl Computing untuk membeli 157.42 hektar tanah di Port Dickson serta mempunyai hubungan rapat dengan syarikat induk Pearl Computing melalui Gamuda AI Academy, GAM tidak menjangka untuk memenangi keempat-empat tender itu,” menurut nota berkenaan.

Bagaimanapun, katanya GAM berada pada kedudukan yang baik untuk memenangi kebanyakan tender berikutan ia mempunyai kapasiti pembuatan IBS terbesar dan berpengalaman dalam membina serta menyiapkan pusat data.

Maybank IB yakin SCGB mempunyai potensi yang besar sekiranya menerima lebih banyak projek pusat data berbanding yang dijangkakan.

-- BERNAMA