BERITA TERKINI   Pendirian bebas dan berkecuali Malaysia buka ruang untuk kerjasama ekonomi - PM Anwar | Kejayaan Petronas peroleh telaga gas di Turkmenistan bukti keyakinan negara luar terhadap keupayaan Malaysia, syarikat tempatan - PM Anwar | PRN Johor: PH umum Nor Zulaila Abd Ghani sebagai calon kerusi DUN Tiram, Lee Wern Yiing calon DUN Johor Jaya - Loke | 

Petronas Perkukuh Kerjasama Di Sabah, Meterai Perjanjian Ekuiti Dengan SMJ Energy

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) melalui anak syarikatnya Petronas LNG Sdn Bhd (PLSB) memeterai perjanjian induk (HoA) dengan SMJ Energy Sdn Bhd (SMJ Energy) untuk memformalkan terma penyertaan ekuiti SMJ Energy sebanyak 25 peratus dalam PFLNG 3 Sdn Bhd.

PFLNG 3 Sdn Bhd merupakan syarikat projek yang membangunkan kemudahan pengeluaran gas asli cecair (LNG) terapung berasaskan darat yang akan dibina di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) di Sipitang, Sabah.

“Pengambilalihan ekuiti yang dicadangkan akan dilaksanakan menerusi perjanjian muktamad yang bakal dimeterai selepas HoA,” kata Petronas dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Petronas, HoA tersebut menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh kerjasama jangka panjang syarikat dengan kerajaan negeri Sabah serta pembangunan sumber yang bertanggungjawab di negeri itu.

Perjanjian berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy, Datuk Dr Dionysia Aloysius Kibat dengan Ketua Pegawai Eksekutif PLSB, Shamsairi M Ibrahim.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

-- BERNAMA