Pasaran Getah Ditutup Tinggi Sejajar Dengan Niaga Hadapan Serantau
KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup tinggi hari ini, sejajar dengan pasaran niaga hadapan getah serantau.
Seorang peniaga berkata niaga hadapan getah Jepun meningkat, disokong oleh komitmen China untuk mengawal selia persaingan dan menstabilkan harga sektor kenderaan elektrik (EV).
Sentimen pasaran turut didorong oleh prestasi ekonomi yang memberangsangkan di Amerika Syarikat (AS) dan China.
“Laporan ekonomi terkini bank pusat AS yang dikeluarkan pada Rabu, menunjukkan aktiviti meningkat dalam beberapa minggu ini.
“Sementara itu, Kabinet China pada Rabu berjanji untuk mengawal selia apa yang digambarkan sebagai ‘persaingan tidak rasional’ dalam industri EV negara itu, dengan memberi jaminan untuk memperkukuh siasatan berkaitan kos dan pemantauan harga,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, katanya kenaikan seterusnya dikekang oleh ketidaktentuan yang berterusan mengenai tarif perdagangan AS dan hala tuju mengenai kadar faedah.
“Semalam, Presiden Rizab Persekutuan New York John Williams menyatakan masih terlalu awal untuk mempertimbangkan menurunkan kadar faedah berikutan tekanan inflasi yang meningkat disebabkan tarif dan ketidaktentuan yang berterusan dalam prospek ekonomi,” katanya.
Beliau berkata Bloomberg Southeast Asia melaporkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN-5 dijangka lembap kepada hanya 3 peratus pada 2025 dan berpotensi merosot serendah 1.5 peratus pada 2026 jika impak berganda daripada tarif AS berterusan.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) naik 11.0 sen kepada 733.00 sen sekilogram manakala susu getah pukal meningkat 3.0 sen kepada 566.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA