BERITA TERKINI   Hakim Mahkamah Persekutuan Abu Bakar Jais dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, majlis angkat sumpah 28 Julai ini - Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan | Hakim Mahkamah Rayuan Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik Ketua Hakim Negara yang baharu, majlis angkat sumpah 28 Julai ini - Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan  | 

Ramssol Sokong Anak Syarikat Alami Kerugian Untuk Raih Untung US$1 Juta

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Ramssol Group Bhd menyatakan sokongan terhadap anak syarikatnya yang mengalami kerugian, Rider Gate Sdn Bhd, untuk mencatat keuntungan selepas cukai sekurang-kurangnya US$1 juta susulan pelupusan 40 peratus kepentingan kepada SAGTEC Global Ltd yang disenaraikan di NASDAQ.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu menjelaskan bahawa jaminan keuntungan berkenaan adalah tertakluk khusus kepada Rider Gate dan bukannya Ramssol, sekali gus memperbetulkan kenyataan yang telah dibuat pada 14 Julai lepas.

“Ramssol telah menetapkan dan memberi jaminan bahawa Rider Gate akan mencatat keuntungan selepas cukai tidak kurang daripada US$1 juta dalam tahun kewangan penuh,” katanya.

Penjelasan itu dibuat selepas Bursa Malaysia meminta maklumat tambahan mengenai terma cadangan pelupusan kepentingan yang menyaksikan Ramssol memperoleh kepentingan dalam SAGTEC sebagai pertukaran terhadap 40 peratus kepentingan itu.

Rider Gate mencatat kerugian bersih selepas cukai sebanyak RM283,722 dan liabiliti bersih RM351,818 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis, 2024 manakala SAGTEC meraih keuntungan bersih RM6.93 juta dan aset bersih RM17.38 juta.

Ramssol berkata walaupun syarat penjualan kepentingan itu merangkumi jaminan keuntungan, ini tidak mengandungi sebarang klausa mengenai mekanisme penguatkuasaan sekiranya sasaran itu tidak dicapai.

“SAGTEC  berhak untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang yang dianggap bersesuaian sekiranya jaminan keuntungan tidak dipenuhi. Bagaimanapun, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk beroperasi mengikut hubungan dan persefahaman komersial yang berteraskan kepercayaan,” katanya.

Syarikat itu juga menganggap sasaran itu sebagai mampu dicapai susulan pengkomersialan Rider Gate sejak Januari 2025.

“Bersandarkan (kekuatan) lebih daripada 150 pengendar berdaftar dan potensi untuk mengembangkan jaringan kepada 1,000 pengedar dalam tahun pertama pelancarannya, syarikat ini berpendapat bahawa jaminan keuntungan berkenaan sebagai realistik,” katanya.

Pada masa sama, Ramssol menegaskan tiada sebarang liabiliti, termasuk bersyarat yang masih ditanggung oleh kumpulan susulan pelupusan itu selain tiada jaminan lanjut diberikan kepada sama ada SAGTEC atau Rider Gate.

Nilai pasaran saksama bagi platform perisian Rider Gate dianggarkan RM24.26 juta hingga RM29.49 juta mengikut penilaian oleh Strategic Capital Advisory Sdn Bhd yang menggunakan kaedah aliran tunai terdiskaun kepada firma.

-- BERNAMA