BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

CEO TH Plantations Diarah Cuti, CFO Letak Jawatan Atas Dakwaan Bayaran Lebih RM5 Juta

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH Plantations Bhd (THP) Mohamed Zainurin Mohamed Zain dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Marliyana Omar telah diberi surat tunjuk sebab berkaitan dakwaan pembayaran tidak sah bernilai RM5.1 juta kepada pekerja ladang.

Mohamed Zainurin diarah bercuti berkuatkuasa dari tarikh surat tunjuk sebab sehingga tempoh selanjutnya yang dimaklumkan kemudian, kata syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Marliyana, bagaimanapun telah menyerahkan surat peletakan jawatan yang berkuatkuasa serta-merta, katanya.

“Syarikat akan meneruskan perniagaan seperti biasa. Untuk sementara ini, peranan CEO akan dikendalikan oleh jawatankuasa sementara Lembaga Pengarah dikenali sebagai jawatankuasa eksekutif lembaga (exco lembaga) THP sehingga notis selanjutnya,” katanya.

Barisan exco itu merangkumi Pengerusi THP Datuk Dr Ahmad Kushairi Din, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif THP Kasmuri Sukardi, Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Nor Adila Ismail serta Ketua Pegawai Operasi Alikamal Abu Hassan.

-- BERNAMA