BERITA TERKINI   PM Anwar umum tambahan RM10 juta kepada Kementerian Perpaduan Negara untuk laksana program kenegaraan | PM Anwar seru rakyat tidak terpengaruh dengan hasutan, fokus usaha majukan negara | Pelan Tindakan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) 2026-2030 dilancar tahun ini, perkuat garis panduan penggunaan AI - Gobind | Lapan hakim Mahkamah Rayuan dan 14 hakim Mahkamah Tinggi yang baru dilantik akan angkat sumpah 28 Julai ini - PM Anwar | 

Niaga Hadapan Emas Dijangka Terus Meningkat Minggu Depan

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka terus mendapat sokongan dan meningkat minggu depan dengan julat harga lebih kukuh US$3,320 hingga US$3,380 bagi setiap auns troy, kecuali berlaku perubahan mendadak dalam sentimen pasaran bon.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata pembelian berterusan oleh bank-bank pusat selain faktor ketidaktentuan geopolitik dan kebimbangan terhadap tekanan hutang sistemik juga mempengaruhi sentimen pasaran terhadap logam berharga itu.

“Ini memberi ruang kepada ketahanan terhadap risiko luar jangka dari Jepun serta pengukuhan dolar AS yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI). Namun, sekiranya berlaku lonjakan harga melebihi US$3,380 akibat tekanan dalam pasaran bon, keadaan itu boleh mendorong kepada peningkatan paras yang lebih ketara,” katanya kepada Bernama.

Bagi asas mingguan, kontrak baharu Ogos 2025 menokok kepada US$3,378.30 setiap auns troy daripada US$3,362.70 manakala kontrak September 2025 naik kepada US$3,384.20 setiap auns troy berbanding US$3,377.60.

Kontrak Oktober 2025, Disember 2025 dan Februari 2026 masing-masing turut meningkat kepada US$3,413.40 setiap auns troy daripada US$3,397.50 pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 199 lot berbanding 139 lot pada minggu lepas manakala kepentingan terbuka turun kepada 68 kontrak daripada 72 kontrak.

Harga emas fizikal berada pada US$3,318.50 setiap auns troy mengikut penetapan oleh London Bullion Market Association (LBMA) pada 17 Julai 2025.

-- BERNAMA