Ringgit Terus Mengukuh Berbanding Dolar AS Pada Sesi Pembukaan
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS pada sesi pembukaan hari ini berikutan ekonomi Malaysia yang diunjurkan berkembang lebih tinggi daripada jangkaan kepada 4.5 peratus pada suku kedua, menunjukkan ekonomi negara kekal berdaya tahan.
Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 4.5 peratus pada suku kedua berdasarkan anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada Jumaat lepas, mengatasi sedikit pertumbuhan pada suku tahun sebelumnya sebanyak 4.4 peratus.
Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.2330/2540 berbanding dolar AS daripada 4.2410/2455 pada Jumaat lepas.
Bagaimanapun, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangka ringgit akan kekal dalam jajaran kecil berikutan kebimbangan mengenai tarif Amerika Syarikat (AS) yang terus menjejaskan sentimen pasaran menjelang tarikh akhir pada 1 Ogos.
“Oleh itu, ringgit dijangka berada dalam julat RM4.24 hingga RM4.25 hari ini berikutan peniaga kekal berhati-hati,” katanya kepada Bernama.
Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 2.8518/8662 daripada 2.8517/8549, mengukuh berbanding pound kepada 5.6790/7072 daripada 5.6999/7060 dan naik berbanding euro kepada 4.9230/9474 daripada 4.9336/9388 pada Jumaat lepas.
Mata wang tempatan turut diniagakan tinggi berbanding kebanyakan mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2944/3110 daripada 3.3027/3065, naik berbanding baht Thailand kepada 13.0608/1337 daripada 13.3027/3065, tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 259.7/261.1 daripada 260.2/260.6 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.40/7.44 daripada 7.41/7.43 sebelum ini.
-- BERNAMA