BERITA TERKINI   Kemajuan Malaysia di bawah kerangka MADANI perlu dipacu teknologi, berteraskan nilai moral yang kukuh - Anwar | PM Anwar dijangka bertemu pemimpin Kemboja, Thailand esok di Putrajaya - PMO | PM Anwar jangka bertemu pemimpin Kemboja, Thailand esok di Putrajaya | GRS akan terus sokong Kerajaan MADANI, banyak tuntutan Sabah dalam MA63 dilulus dan direalisasikan - Hajiji | Semua MRSM diisytiharkan cuti esok sempena kejayaan juarai Kejohanan Super Schools Rugby 2025 - Pengerusi MARA | 

SKP Akan Laksana Rangka Kerja Kawal Selia BNPL Secara Menyeluruh Dan Mampan - Lim Hui Ying

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan melaksanakan rangka kerja kawal selia bagi skim 'Beli Sekarang, Bayar Kemudian' (BNPL) secara menyeluruh dan mampan bagi memastikan rakyat tidak terjerumus ke dalam kancah hutang, sekali gus membawa kepada peningkatan muflis.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata menerusi rangka kerja tersebut, syarikat-syarikat BNPL akan diwajibkan untuk melakukan penilaian kemampuan berhutang sebelum meluluskan pinjaman kepada pengguna kredit.

“Penilaian tersebut amat penting untuk memastikan pengguna kredit mampu membayar balik wang yang dipinjam tanpa mengalami tekanan kewangan yang serius dan tidak terjerumus dalam perangkap hutang.

“SKP akan memastikan pematuhan industri BNPL terhadap keperluan melaksanakan penilaian kemampuan berhutang tersebut. Kebanyakan pengguna BNPL pada waktu ini mengambil pinjaman dalam jumlah yang kecil dan tidak melepasi ambang tindakan undang-undang sebagai muflis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Penggulungan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025 yang dibaca untuk kali kedua di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Lim berkata SKP akan turut menetapkan keperluan agar penyelia-penyelia BNPL mendedahkan secara telus semua maklumat berkaitan terma kredit termasuk fee dan caj yang dikenakan sebelum sebarang kemudahan kredit ditawarkan kepada pengguna.

“Kerajaan juga menekankan kepentingan literasi kewangan agar rakyat lebih bijak mengurus kewangan dan memahami risiko penggunaan BNPL secara berlebihan.

“Pendekatan ini bertujuan melindungi pengguna daripada beban hutang yang tidak terkawal serta menggalakkan amalan pinjaman yang bertanggungjawab,” kata Lim.

Lim berkata pasaran BNPL  di Malaysia berkembang dengan pesat. Pada ketika ini, terdapat 16 syarikat yang menawarkan skim BNPL seperti SPay Later, Atome, GrabPay Later yang juga merupakan tiga skim terbesar dengan bahagian pasaran melebihi 95 peratus.

-- BERNAMA