Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Aktiviti Pengambilan Untung
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) - Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Isnin, terjejas oleh aktiviti pengambilan untung berikutan kenaikan kukuh pada minggu lepas, kata seorang penganalisis.
Ketua Penyelidikan Komoditi Kumpulan Sunvin, Anilkumar Bagani berkata, walaupun niaga hadapan mencatatkan penurunan, harga minyak sawit kekal stabil dalam nilai dolar AS berikutan pengukuhan ringgit.
“Harga MSM Indonesia terus kukuh, mengecilkan margin pemprosesan dan berpotensi mengehadkan eksport minyak sawit ditapis mulai Ogos dan seterusnya.
“Pengeluaran yang lebih perlahan di Malaysia dan Indonesia telah menyokong harga minyak sawit, walaupun hanya India dan Pakistan yang menjadi pembeli aktif sejak dua bulan lepas,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata harga menerima tekanan akibat harga minyak kacang soya yang rendah dan prestasi lemah eksport.
"Kami melihat paras sokongan pada RM4,200 setan metrik dan paras rintangan pada RM4,350," katanya
Pada penutup dagangan, bulan semerta Ogos turun RM88 kepada RM4,174 setan metrik, kontrak September 2025 susut RM93 kepada RM4,216 setan metrik dan kontrak Oktober 2025 turun RM90 kepada RM4,225 setan metrik.
Kontrak November 2025 berkurangan RM76 kepada RM4,229, Disember 2025 turun RM63 to RM4,227 dan Januari 2026 menyusut RM51 kepada RM4,224 setan metrik.
Jumlah dagangan turun kepada 75,830 lot daripada 136,709 pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka susut kepada 235,195 kontrak daripada 237,735 sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan turun RM90 kepada RM4,200 setan metrik.
-- BERNAMA