BERITA TERKINI   Mesyuarat khas bagi memastikan gencatan senjata di sempadan Kemboja-Thailand bermula di Putrajaya | Pemangku PM Thailand Phumtham Wechayachai tiba di Malaysia untuk pertemuan khas bincang pertikaian sempadan dengan Kemboja - NBT | Bantuan Musim Tengkujuh diteruskan tahun ini - TPM Ahmad Zahid | Peserta Program Tuisyen Rakyat RISDA yang cemerlang SPM 2024 dapat insentif khas RM300 - Ahmad Zahid | Bank Negara semak semula unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2025 kepada 4-4.8 peratus daripada unjuran awal 4.5-5.5 peratus | 

Kerangka Kerja Pusat Data Mampan Dijangka Diperkenal Oktober Ini

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Kerangka Kerja Pusat Data yang mampan dijangka diperkenalkan pada Oktober ini, menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menerusi satu hantaran di platform X malam ini, beliau berkata kerangka tersebut akan diletakkan di bawah Kementerian Digital, yang antara lain akan menyaksikan koordinasi strategik bersama semua agensi berkaitan dan kerajaan negeri berhubung pelaksanaan pembangunan pusat data.

Tengku Zafrul berkata persetujuan itu dicapai menerusi mesyuarat Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) 2025, yang dipengerusikan bersama Menteri Digital Gobind Singh Deo hari ini.

"Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga akan menjadi 'focal point' bagi semua permohonan projek pusat data baharu dan pembesaran. 

"Ini akan memastikan semua inisiatif dan projek berjalan lancar, mengelakkan pertindihan fungsi, serta menyokong pembangunan ekosistem pusat data negara yang lebih mampan dan strategik," kata beliau menerusi hantaran itu.

Tengku Zafrul berkata mesyuarat tersebut amat penting untuk memastikan pembangunan industri pusat data negara lebih mampan, berdaya saing, dan mesra pelabur. 

DCTF adalah platform strategik pelbagai agensi yang diterajui oleh kementeriannya dan Kementerian Digital untuk menyelaras segala perancangan dan pelaksanaan projek pusat data secara holistik.

-- BERNAMA