BERITA TERKINI   Pertikaian sempadan Kemboja-Thailand: Menteri Luar ASEAN sokong usaha Pengerusi ASEAN memudah cara kedua-dua pihak untuk sambung semula dialog, hentikan pertempuran | Pertikaian sempadan: Menteri Luar ASEAN gesa gencatan senjata segera, tamatkan permusuhan dan kedua-dua pihak kembali ke meja dialog | Agong berkenan kurnia Surat Cara Pelantikan Ketua Hakim Negara kepada Wan Ahmad Farid di Istana Negara hari ini | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi, Seiring Kekukuhan Minyak Kacang Soya

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini seiring dengan kekukuhan niaga hadapan minyak kacang soya di Chicago Board of Trade (CBOT) dan pasaran minyak kacang soya mentah (CDSBO) di Amerika Selatan semalaman.

Ketua penyelidikan komoditi Sunvin Group, Anilkumar Bagani, berkata niaga hadapan minyak biji sesawi yang didagangkan di Bursa Komoditi Zhengzhou (ZCE) dan ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS mengehadkan kenaikan minyak sawit.

"Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), harga minyak sawit dijangka diniagakan antara RM4,100 hingga RM4,300 setan pada bulan depan. Unjuran itu didorong oleh kekukuhan pasaran minyak kacang soya dan permintaan bersempena musim perayaan dari India," katanya kepada Bernama.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga komoditi itu dirangsang oleh harga minyak kacang soya dan olein sawit Dalian yang lebih kukuh.

"Kami melihat paras sokongan pada RM4,200 dan paras rintangan pada RM4,400," katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Ogos meningkat RM22 kepada RM4,196 setan, kontrak September 2025 menambah RM30 kepada RM4,246 setan dan kontrak Oktober 2025 naik RM39 kepada RM4,264 setan.

Kontrak November 2025 meningkat RM42 kepada RM4,271 setan, Disember 2025 naik RM43 kepada RM4,270 setan dan Januari 2026 menokok RM38 kepada RM4,262 setan.

Jumlah dagangan menyusut kepada 75,575 lot daripada 75,830 pada hari Isnin, manakala kepentingan terbuka turun kepada 231,767 kontrak daripada 235,195 sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan meningkat sebanyak RM20 kepada RM4,220 setan.

-- BERNAMA