BERITA TERKINI   Piala Thomas: Malaysia 0 Finland 1: Leong Jun Hao kalah kepada Joakim Oldorff 17-21, 15-21 | Isu Kerajaan Negeri Sembilan: UMNO pusat akan bertemu ADUN UMNO negeri dalam masa terdekat - Ahmad Zahid | UMNO akan bertemu PM Anwar, bincang isu Kerajaan Negeri Sembilan - Ahmad Zahid | Malaysia kekal terbuka kepada pelaburan dari Timur dan Barat serta kerjasama dengan syarikat yang menghormati undang-undang dan keutamaannya - PM Anwar | Malaysia tidak berhasrat untuk hanya menjadi pengguna AI, sebaliknya menyasarkan bekerjasama dengan rakan strategik dan bersaing dalam ekonomi digital global - PM Anwar | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Lebih Tinggi Susulan Dolar AS Lemah

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Rabu didorong oleh dolar Amerika Syarikat (AS) yang lemah dan penurunan hasil Perbendaharaan AS, kata seorang penganalisis.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes memberitahu Bernama, komoditi selamat itu melonjak selepas perjanjian perdagangan AS-Jepun mencetuskan peningkatan risiko serantau.

Pada Selasa, Presiden AS Donald Trump mencapai perjanjian perdagangan dengan Jepun termasuk pengurangan tarif AS ke atas negara itu daripada 25 peratus kepada 15 peratus.

Innes berkata harga emas juga dipengaruhi oleh kebimbangan yang semakin meningkat berhubung kritikan terbuka Trump terhadap Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell apabila Trump mendesak pengurangan kadar faedah yang boleh memberi manfaat kepada ekonomi dalam jangka masa pendek.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Julai 2025 melonjak kepada US$3,442.2 setiap auns troy daripada US$3,395.90 setiap auns troy pada Selasa, kontrak Ogos 2025 bertambah kepada US$3,460.5 setiap auns troy daripada US$3,414.20 setiap auns troy semalam manakala kontrak September 2025 berkembang kepada US$3,466.4 setiap auns troy daripada US$3,420.10 setiap auns troy.

Kontrak Oktober 2025, Disember 2025 dan Februari 2026 juga ditutup lebih tinggi kepada US$3,495.6 setiap auns troy daripada US$3,449.30 setiap auns troy sebelumnya.

Jumlah dagangan menyusut kepada 30 lot daripada 52 lot manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 58 kontrak daripada 28 kontrak.

Emas fizikal berharga US$3,409.85 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 22 Julai 2025.

-- BERNAMA