BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

YelaoShr Kini Francais Berlesen, Sasar 300 Pusat Di Seluruh Negara Menjelang 2028

PETALING JAYA, 23 Julai (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan pendidikan, YelaoShr Education Group Sdn Bhd secara rasminya telah beralih kepada francais berlesen di bawah nama YelaoShr, dengan rancangan pengembangan rangkaiannya ke 300 pusat di seluruh negara menjelang 2028.

Pengumuman itu dibuat pada majlis memeterai francais di sini hari ini, apabila syarikat itu memperkenalkan 66 francaisi baharu di bawah program pengembangannya.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif YelaoShr David Yap Wing Fai berkata model francais itu direka untuk menyokong pendidik dan profesional muda dalam membuka dan mengendalikan pusat menggunakan sistem yang standard.

“Apa yang bermula sebagai sebuah bilik darjah telah menjadi satu rangkaian dengan lebih 60 pusat, ribuan pendidik dan puluhan ribu kanak-kanak yang menemui keseronokan belajar menerusi model satu ke satu tiga bahasa kami,” katanya ketika berucap.

Beliau menekankan bahawa matlamat syarikat itu bukan semata-mata berkembang dari segi bilangan, tetapi juga memperkasa individu, khususnya wanita dan profesional muda, untuk membina perniagaan pendidikan yang mampan dengan sokongan berstruktur.

“Matlamat kami buka hanya membuka 300 pusat, tetapi untuk melihat 300 kisah kejayaan tranformasi,” katanya.

YelaoShr dilaporkan telah mempunyai lebih 120,000 pelajar di seluruh negara menerusi model pendidikan tiga bahasa yang diperibadikan, yang memberi tumpuan kepada pembelajaran satu ke satu dalam Mandarin, Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.

Ditubuhkan pada 2005, syarikat itu kini dalam peringkat prapermulaan tawaran awam dan menyasar untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dalam tempoh dua tahun lagi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA) Datuk Dr Radzali Hassan berkata pensijilan YelaoShr mencerminkan pembangunan berterusan industri francais di Malaysia.

“Kami kini mempunyai lebih 1,200 francais berdaftar dengan lebih 13,000 cawangan di seluruh negara, mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan.

“YelaoShr ialah salah satu ahli MFA yang dihargai. Walaupun agak baru kepada persatuan ini, mereka telah beroperasi sebagai pemilik perniagaan sejak sekian lama dan kehadiran mereka telah memberikan kesan yang ketara,” katanya.

Radzali turut menghargai rancangan YelaoShr untuk disenaraikan, menyifatkannya sebagai keyakinan bagi perniagaan berasaskan pendidikan.

“Ia menunjukkan kepercayaan terhadap kekuatan matlamatnya, iaitu membawa pembelajaran berkualiti tinggi dan inklusif kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Pada majlis tersebut, turut dilancarkan buku bertajuk ‘Finnish Education is What Malaysian Children Need the Most’, yang meneroka falsafah pendidikan bersepadu Finland dengan Rangka Kerja Pendidikan MADANI Malaysia.

Selain itu, sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporatnya, YelaoShr turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM33,688 kepada tiga pertubuhan.

Madrasah Tahfiz Al-Quran Darul Falah di Melaka dan Maahad Tahfiz Istiqomatuddin di Sementa, Klang masing-masing menerima RM10,000, manakala Dual Blessing Bhd menerima RM13,688.

--BERNAMA